MASALAH DAN CABARAN DALAM DUNIA PENDIDIKAN BAHASA MALAYSIA
Guru-guru Bahasa Melayu sering berhadapan dengan situasi pelajar berbangsa Melayu yang beranggapan bahawa bahasa Melayu tidak perlu dipelajari lagi kerana mereka menuturkan bahasa Melayu setiap hari. Oleh itu, mereka banyak melakukan kesalahan bahasa kerana menganggap perkara itu betul dan tidak salah. Tambahan pula, mereka menjadikan media massa sebagai rujukan. Walaupun media massa pada hari ini menunjukkan kesungguhan untuk membetulkan kesalahan bahasa tetapi masih terdapat kesalahan masih lagi dianggap betul. Oleh itu, kita haruslah membetulkan kesalahan yang biasa dilakukan dan membiasakan perkara yang betul.
Bahasa yang terdapat pada papan iklan atau papan tanda jalan juga banyak yang salah. Kita sering melihat kata-kata seperti Selekoh Merbahaya, Raju Klinik,Minah Restoran, Pusat Membeli-belah dan beberapa kesalahan lain. Oleh itu, pihak yang berkuasa dalam menguatkuasakan bahasa ini iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka sepatutnya menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka untuk memantau kesalahan bahasa dan mengambil tindakan yang sewajarnya. Sekiranya masalah ini tidak dilakukan sudah tentu banyak pihak yang menganggap kesalahan tersebut bukan satu kesalahan.

Pengaruh bahasa Inggeris pula memang tidak dapat dielakkan tetapi hendaklah digunakan dalam bentuk dan peraturan yang betul. Kita tidak boleh menggunakan ‘merojakkan’ bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perkara inilah yang dikatakan merosakkan bahasa atau sekerat ular, sekerat belut dan bercampur aduk. Para pengguna bahasa perlu menggunakan bahasa yang betul dan tidak menggunakan bahasa rojak dalam majlis rasmi atau dalam tulisan.

Kesalahan lain yang kerap kali dilakukan adalah dari segi sebutan baku iaitu sepatutnya sebutan mengikut ejaan. Aspek sebutan ini kebiasaannya kurang dititikberatkan oleh pengguna bahasa terutamanya pelajar. Perkataan yang selalu disebut dengan pelbagai sebutan seperti nasionalisme, peka, psikologi danautomatik. Oleh itu, bagi para pengguna bahasa, perlu menyebut sesuatu perkataan itu mengikut ejaannya agar sistem bahasa kita ini dapat ditingkatkan. Walaupun, bunyinya agak janggal tetapi kita perlu membiasakannya agar menjadi satu kebiasaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan