Khamis, 14 Februari 2013

MORFOLOGI


PENGENALAN
            Istilah golongan kata sama dengan jenis kata atau kelas kata. Pergolongan kata merupakan proses menjeniskan dan menggelompokkan kata berdasarkan kriteria tertentu. Antara kriteria yang digunakan untuk menggolongkan perkataan ialah ciri-ciri persamaan yang dimiliki oleh kategori kata tersebut,makna kata,kesempurnaan bentuk,taburan kata dan fungsinya dalam ayat.Dalam bahasa Melayu perkataan boleh dimasukkan dalam golongan kata yang sama berdasarkan ciri-ciri persamaan. Ciri-ciri semantik atau makna juga digunakan untuk menggolongkan perkataan. Kata-kata dimasukkan dalam golongan masing-masing berdasarkan makna perkataan tersebut. Umpamanya dalam tatabahasa tradisional,kata nama didefinisikan sebagai kata yang merujuk nama orang atau benda. Selain menggolongkan kata dari sudut morfologi dan semantik, pergolongan kata berdasarkan ciri sintaksis dijadikan panduan. Cara ini membolehkan pergolongan kata yang lebih tepat. Ciri sintaksis merujuk kepada sesuatu kata itu dalam struktur frasa atau ayat. Perkataan yang mempunyai fungsi yang sama dimasukkan ke dalam golongan yang sama.
             Golongan kata nama,kata kerja dan kata adjektif merupakan kata major iaitu kata yang dapat menjadi inti frasa dalam prediket ayat. Ia juga dirujuk sebagai kata leksikal, iaitu kumpulan kata yang mempunyai makna yang agak jelas dan boleh ditentukan. Selain itu, ketiga-tiga golongan kata ini termasuk dalam kelas terbuka, iaitu berpotensi menambah bilangan kata baharu yang tidak terhad jumlahnya,dapat dicipta dan ditambah pada kelas katanya.
                Oleh itu, sesuatu perkataan digolongkan berdasarkan kriteria sintaksis dan kriteria semantik kerana penggolongan yang sedemikian didapati selaras dengan status perkataan sebagai satu bentuk bebas yang menjadi unsur dalam binaan sintaksis, iaitu frasa, klausa, dan ayat.
Ayat dan klausa mengandungi dua konstituen utama, iaitu frasa subjek dan frasa predikat. Frasa subjek dibentuk oleh frasa nama. Frasa predikat pula dibentuk oleh empat jenis frasa, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama. Frasa-frasa ini disebut frasa utama ayat.
Dalam bahasa Melayu terdapat dua kumpulan kata, iaitu:
               I.     Kata isian (kumpulan yang terbuka kerana sentiasa berkembang)
             II.      Kata tugas (kumpulan kata tertutup seperti dan, itu, amat, walaupun, sekiranya,              dan sebagainya.

KONSEP GOLONGAN KATA
            Menurut Nik Safiah et.al ( Tatabahasa Dewan Edisi ketiga) perkataan digolongkan berdasarkan kriteria sintaksis dan semantik kerana penggolongan yang sedemikian didapati lebih selaras dengan status perkataaan satu bentuk bebas yang menjadi unsur binaan sintaksis iaitu frasa,klausa dan ayat. Binaan sintaksis bermaksud konstruksi yang dibentuk oleh perkataan yang dapat berfungsi sebagai ayat ataupun sebagai konstituen dalam ayat,iaitu klausa dan frasa. Dengan hal demikian,perkataan dari sudut binaan sintaksis ialah bentuk yang minimum yang boleh menjadi unsur bagi setiap konstruksi sintaksis, iaitu ayat,klausa dan frasa. Ayat dan frasa mengandungi 2 konstituen utama iaitu frasa subjek dan frasa prediket. Frasa subjek dibentuk oleh frasa nama. Frasa prediket pula dibentuk oleh 4 jenis frasa iaitu frasa nama (FN), frasa kerja (FK),frasa adjektif(FA) dan frasa sendi nama(FS). Frasa-frasa ini disebut frasa utama.
            Kata nama,kata kerja dan kata adjektif bolehlah disebut golongan kata utama kerana menjadi inti bagi frasa utama ayat. Selain tiga golongan kata utama ini, tidak terdapat lagi perkataan-perkataan yang boleh menjadi inti bagi mana-mana frasa nama. Oleh itu, perkataan selain 3 golongan kata nama itu, boleh dikelompokkan ke dalam satu golongan kata secara kolektif yang disebut kata tugas yang bersifat heterogen. Kesimpulannya,golongan kata dalam bahasa Melayu terbahagi kepada 4, iaitu:
1. Kata nama
2. Kata kerja
3. Kata adjektif
4. Kata tugas.
            Manakala menurut Asmah Haji Omar( Nahu Melayu Mutakhir) kata boleh dimasukkan ke dalam golongan tertentu berdasarkan ciri-ciri sintagmatik dan paradigmatiknya. Ciri sintagmatik sesuatu kata itu memperlihatkan:
1. Fungsi kata itu dalam struktur tertentu
2. Hubungannya dengan kata-kata lain dalam struktur yang sama.
            Misalnya, Ali boleh berfungsi sebagai subjek dan juga objek ayat disamping dapat berhubung secara langsung  dengan kata kerja yang mengikuti atau mendahuluinya. Contohnya,
1. Ali memanggil Ahmad.
2. Ahmad tidak mendengar Ali.
Dalam hubungan paradigmatik, Ali boleh digantikan dengan kata nama lain, bapa,abang,saya,dia dan sebagainya.Dari itu, kita katakan Ali, bapa, abang,saya dan dia memasuki satu golongan. Dalam penggunaan bahasa, adakalanya sesuatu kata nama itu dapat digantikan dengan kata nama sahaja dan ada kalanya tidak. Contoh di atas  menunjukkan ciri-ciri persamaan dan perbezaan  antara kata-kata yang boleh menempati fungsi yang sama dalam ayat.Ciri-ciri yang sama menimbulkan golongan . Maksudnya memasukkan kata-kata itu dalam golongan yang sama, sedangkan ciri-ciri perbezaan menghasilkan beberapa subgolongan dari golongan tadi. Maka kata sempurna dalam bahasa Melayu dibahagikan ke dalam golongan-golongan berikut :
1. Benda dengan subgolongan nama,ganti nama dan bilangan.
2. Karyaan dengan subgolongan kerja dan sifat serta subgolongan masing-masing.
3. Adverba dengan subgolongannya.

PERBANDINGAN UTAMA GOLONGAN KATA

NIK SAFIAH et.al (2008)

ASMAH HAJI OMAR(2009)
KATA NAMA

BENDA
i. Kata Nama
ii. Kata Ganti Nama
iii. Kata Bilangan
KATA KERJA

KARYAAN
i. Kata Kerja
ii. Kata Sifat
KATA ADJEKTIF

ADVERBA
KATA TUGAS




Golongan Kata Nama
Nik Safiah et.al (2008)
Asmah Haji Omar (2009)

Sejumlah perkataan yang boleh menjadi unsur inti dalam binaan frasa nama dan lazimnya kata ini menamakan orang, haiwan, tempat, benda atau konsep.

Kata nama dipecahkan seperti berikut :

Kata Nama Khas
Kata nama yang merujuk nama sesuatu benda yang khusus dan ejaannya berpangkalkan huruf  besar. Terbahagi kepada dua iaitu :
   Kata Nama Khas Hidup
-       -Manusia : Nina, Hani
-Bukan manusia: Lassie,Putih.

a.      Kata Nama Khas Tak Hidup
Contohnya : Kuala Lumpur, Proton Saga, Pasir Mas, Brunei, Gunung Jerai,

Kata Nama Am

Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda atau perkara yang umum sifatnya. Kata nama am terbahagi kepada dua jenis, iaitu

a.       i. Kata nama am konkrit (yang membawa konsep kebendaan)
Contohnya : tangan, pekerja, rumah, kereta, sungai, kambing, lautan

ii. Kata nama am abstrak (yang membawa konsep mujarab atau bukan kebendaan)
Contohnya : mimpi, roh, idaman, kedamaian, perpaduan serapan


Kata Ganti Nama

Kata ganti nama terbahagi kepada dua iaitu :
a.      kata ganti nama tunjuk
-       kata ganti nama tunjuk umum
contohnya : ini, itu
-       kata ganti nama tunjuk tempat
contohnya : sini, situ

b.      kata ganti nama diri
-       kata ganti nama diri tanya
contohnya : siapa, apa, mana
-       kata ganti nama diri orang

Manakala kata ganti nama diri orang terbahagi kepada
a.      kata ganti nama diri orang pertama
contohnya : saya, aku, beta, kita, patik, kami

b.      kata ganti nama diri orang kedua
contohnya : saudara, kamu, awak, kau, engkau, anda


c.       kata ganti nama diri orang ketiga
contohnya : ia, dia, beliau, mereka
-nya








































 Kata benda yang berfungsi pada subjek dan objek ayat. Ia merujuk pada sesuatu    yang bernyawa,tak bernyawa,konkrit dan abstrak. Ia dipecahkan :
 Kata Nama Khas dan Am.
i. Kata nama khas adalah nama orang,badan-badan tertentu,undang-undang,tempat,bangsa dan bahasa. Dalam tulisan huruf pertamanya huruf besar. Contoh, Tabung Haji, Sungai Siput.
ii. Kata nama am kata yang tidak merujuk kepada nama-nama secara khas dan tidak ditulis dengan huruf besar. Contoh,kertas,pensel,kaawan.
Kata Nama Bernyawa Dan Tak Bernyawa
i.Kata nama bernyawa.Contoh, polis ,lembu, pokok
ii. Kata nama tak bernyawa.Contoh, meja ,kerusi, buku
Kata nama manusia dan bukan manusia.
i. Kata nama manusia terdiri daripada kata nama khas dan am.
ii. Kata nama bukan manusia terdiri daripada kata nama am.

Kata Nama Konkrit dan Abstrak
i. Kata nama konkrit ialah benda yang boleh dilihat,sentuh,hidu, dengar .Contoh, air, angin,wangian
ii. Kata nama abstrak kata nama yang tak dapat dilihat,hidu,sentuh, dengar. Contoh fikiran,perasaan,kebahagian.
Kata Nama Berhitungan dan Tak Berhintungan.
i. Dihitung dengan/tanpa penjodoh bilangan. Contoh, pensel,kereta ,baju.
ii. Dihitung hanya menggunakan kata ukuran seperti kilo,kati,ela.
Kata Nama Institusi dan Bukan Institusi.
i.Institusi. Contoh ke sekolah, ke kementerian.
ii. Bukan institusi. Contoh kepada sekolah, kepada kementerian
Kata Nama Ukuran
Contoh, orang ekor,pokok, kuntum
Kata Nama Waktu
Contoh, pagi, siang, malam.
Kata Nama Tempat
Contoh, hulu,hilir,pinggir,seberang.
Kata Nama Warna.
Contoh, biru,merah,hijau
Kata Nama Kumpulan ( Hipernim)
Contoh, buah ( epal,limau,kelapa)
Kata Nama Bangsa dan Bahasa
i.Bangsa- Melayu,Cina, India.
ii. Bahasa- bahasa Malaysia, bahasa Iban.
Kata Nama Gelaran
i. Gelaran kekeluargaan- Pak Ali,abang, Anjang.
ii. Gelaran pergaulan- Encik,Puan, Cik.
iii. Gelaran pergaulan tak sengaja-Tuan,Haji
iv. Gelaran warisan- Raja,Wan,Tengku.
v. Gelaran kurniaan- Datuk,Tun,Datin
vi. Gelaran keagamaan- Haji, Hajah
vii. Gelaran olokan- Si Badul, Si Luncai.
viii. Gelaran kegerunan- Sang Belang,Sang Bedal.
ix.Gabungan gelaran- Pak Haji,Cik Nik.
ixx. Rujukan kehormat- Yang Maha Mulia.

 Kata Ganti Nama
 Kata ganti nama ialah kata yang berdiri di tempat kata nama. Terbahagi kepada :
 i. Kata Ganti Nama Diri
ii. Kata Ganti Nama Tunjuk
 iii. Kata Ganti Nama Tanya.
Kata Ganti Nama Diri.
i. Ganti nama diri manusia (diri pertama,kedua, ketiga)
ii. Konteks sosiolinguistik-meliputi taraf social seseorang.
iii. Ganti nama bahasa diraja-beta,patik,tuanku.
iv. Ganti nama biasa
- Hormat-saya,tuan,puan.
-Neutral- saya,anda, saudari
-Kasar/intim- dia,aku,kamu.
v.  Konteks nahu.- diperinci menurut bentuk dan fungsinya.
vi. Ganti nama kendiri- sendiri,kendiri.
vii. Ganti nama diri bukan manusia- ia,ianya.
viii.Bentuk klisis(lemah)- ku,kau,mu.
Ganti Nama Tunjuk.
- ini, itu
Ganti Nama Tanya.
- apa,siapa,mana,berapa?

 Kata Bilangan
- Termaktub ciri jumlah di dalamnya
 i. Kata bilangan kardinal.
 - Kata nombor ( kata yang melambangkan nombor).Contoh,setengah,sesuku,sebelas ,dua.
- Kata kuantiti ( Jumlah yang tidak nyata) Contohnya, segenap,sekalian,separuh,suku.
ii. Kata bilangan ordinal.( kata yang melambangkan urutan dalam jumlah)Contoh, pertama,kedua,ketiga.


GOLONGAN KATA KERJA
NIK SAFIAH et.al (2008)
ASMAH HAJI OMAR (2009)
kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan atau konstruksi frasa kerja.
-kata kerja terbahagi kepada dua iaitu :
i.kata kerja aktif
-       kata kerja aktif tak transitif
-       kata kerja aktif transitif
ii.kata kerja pasif

Kata kerja aktif tak transitif
-kata kerja yang tidak memerlukan penyambut atau objek sesudahnya.
-dibahagi kepada subgolongan, iaitu:

i.kata kerja aktif tak transitif tanpa pelengkap
-       kata kerja yang boleh berdiri tanpa objek atau penyambut.
Contohnya: Semua orang pulang.

ii. kata kerja aktif tak transitif berpelengkap
-       kata kerja yang mesti diikuti oleh pelengkap untuk menyempurnakan maksud ayat.
Contohnya: Keadaan bapanya beransur baik.


Kata kerja aktif transitif
-kata kerja yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya.
-       contohnya:
 Saya telah menjawab surat itu.
Kami membaiki kereta itu.
Kata kerja pasif
-kata kerja hasil daripada proses transformasi atau perubahan ayat aktif menjadi ayat pasif.
-       Contonya:
Surat itu telah saya jawab.
      Kereta itu telah kami baiki.
Merupakan dibawah subgolongan karyaan. Merupakan kata yang berfungsi pada prediket dalam ayat. Ia boleh dibahagikan kepada:
i. Kata kerja leksikal
ii. Kata kerja bantu.
Kata Kerja Leksikal(kata kerja umum)
i. Kata kerja perbuatan
-Perbuatan sengaja- ( dilakukan dengan penuh sedar) Contohnya,membuka ,memberi,mengambil.
- Tak sengaja ( kebalikkan daripada perbuatan sengaja) Contoh,tertidur,terambil,terkeluar.
- Perbuatan kendiri ( berlaku/dilakukan pada diri sendiri) contoh,tidur,mandi,bersolek.
-Perbuatan luar kendiri( dilakukan pada orang lain/benda lain).Contoh,mencukur ,menyolek.
-Perbuatan menyebabkan(berlakunya sesuatu peristiwa/keadaan)Contoh,bunuh,basuh,membersihkan.
- Perbuatan tak menyebabkan. Contoh, mati,marah,berbaring.
-Menghasilkan.Contoh,masak,buat,tumbuk
- tak menghasilkan.Contoh buka,tutup,makan.
-Perbuatan saling. Contoh, bersalam,berbual,berpelukan
-menyaling. Contoh, menegur,memeluk,memaki.
-Perbuatan dengan upaya biasa.Contoh -memasak,menari,melompat.
- Upaya luar biasa. Contoh, tergamak,terangkat.
-Perbuatan seketika. Contoh berdering,berlari,memandang
--Perbuatan berterusan. Contoh berdering-dering,berlari-lari.
- Perbuatan tabiat ( ciri dalam kehidupan pelaku)Contoh, berjual,bekerja,berabdi.
- Bukan tabiat.Contoh, menjual,mengerjakan,mengabdikan.
- Perbuatan gerak. Contoh, pergi,datang,terbang,bawa.
-Perbuatan bukan gerak.Contoh, duduk,tidur,hinggap.
-Perbuatan memanfaatkan.Contoh,masakkak,tuliskan,beri.
-Perbuatan yang tidak mendokong makna’manfaat’. Contoh,masak,bawa,tulis.

ii. Kata Kerja Keadaaan
- Kata kerja peristiwa. Contoh,mati,hidup,sakit.
- Kata kerja kepunyaan. Contoh,ada,punya,mempunyai.
- Kata kerja pemerian. Contoh, menjadi,merupakan,terdiri.
Kata Kerja Bantu.( iaitu kata kerja yang membantu kata kerja leksikal)
i. Kata kerja aspek (merujuk pada proses perbuatan atau keadaan) Contoh, sudah,telah,sedang,belum,mahu.
ii. Kata kerja madolitas ( membantu dan memberi ciri suasana kepada perbuatan/keadaan)Contoh, mahu,hendak,boleh, dapat,mesti,wajib,mungkin,enggan,perlu.




GOLONGAN KATA ADJEKTIF
NIK SAFIAH et.al(2008)
ASMAH HAJI OMAR ( 2009)
Kata adjektif dikenali sebagai kata sifat iaitu perkataan yang menjadi unsur inti dalam binaan frasa adjektif.
-kata adjektif dibahagikan kepada 9 jenis iaitu:
i. Kata adjektif sifatan @ keadaa
-memberi pengertian sifatan atau keadaan.
Contohnya: baik, lemah, gopoh, sihat, pandai, berani, takut.

ii.Kata adjektif warna
-membawa pengertian warna sebagai unsur keterangan.
Contohnya : merah, biru, putih

iii. Kata adjektif ukuran
-membawa pengertian ukuran.
Contohnya: panjang, pendek, besar, kecik, tebal, nipis

iv. Kata adjektif bentuk
-membawa pengertian rupa bentuk.
Contohnya: bulat, lurus, buncit, leper, lekuk, bujur, bengkok.

v. Kata adjektif waktu
-membawa pengertian konsep masa.
Contohnya: baharu, lama, awal

vi. Kata adjektif jarak
-membawa pengertian konsep ruang antara dua bentuk atau keadaan sebagai penerang k.nama
Contohnya: jauh, rapat, hampir,

vii. Kata adjektif cara
-membawa pengertian keadaan kelakuan atau ragam.
Contohnya: cepat, selalu, laju, deras, lincah, jelas.

viii. Kata adjektif perasaan
-membawa pengertian konsep perasaan.
Contohnya: rindu, benci, cinta

ix. Kata adjektif pancaindera
-membawa maksud konsep rasa, pandang, dengar, bau, sentuh, atau gabungan kelima-lima indera.
- Deria rasa
Contohnya: sedap,masin
- Deria pandang
Contohnya:cantik,segak
-Deria dengar
Contohnya: lunak,garau
-Deria bau
Contohnya:harum,busuk
-Deria sentuh
     Contohnya:kasar,licin
Merupakan subgolongan dari golongan karyaan dan mempunyai persamaan dengan kata kerja tak transitif kerana kedua-duanya tidak mengambil objek.
- Ia dapat dibahagikan kepada 15 jenis.
i. Kata Sifat Tabii.
- Memberi percirian pada tabiat/perangai  manusia. Contoh, baik,jahat,nakal.
ii. Kata sifat Warna
- menerangkan tentang warna dan tidak pernah berdiri sendiri. Contoh, merah,biru,hijau.
iii. Kata sifat ukuran
- merujuk ukuran benda bernyawa atau tidak. Contoh, kecil,gemuk,panjang,pendek.
iv. Kata sifat bentuk
- memberi keterangan  tentang sesuatu bentuk. Contoh, bulat,leper,bengkok.
v. Kata sifat indera
- menerangkan ciri sesuatu berdasarkan pancaindera rasa,dengar, bau,sentuh. Contoh manis,hodoh,bising,wangi,kasar.
vi. Kata sifat gabungan indera
- mempunyai ciri 2 indera atau lebih. Contoh, tenteram (gabungan dengar dan pandang),kotor ( gabungan pandang,sentuh,bau).
vii. Kata sifat waktu diwakili oleh kata sifat lama,baru,segera
viii. Kata sifat jarak menerangkan jarak antara antara 2 titik dari penutur kepada yang dirujuknya.Contoh, jauh,dekat,hampir.
ix. Kata sifat kecepatan merujuk pada daya cepatnya sesuatu gerak. Contoh, cepat,lambat,laju,deras.
x. Kata sifat kuasa tenaga- boleh berfungsi sebagai kata adverba. Contoh, segar, kuat,lemah,lesu.
xi. Kata sifat taraf merujuk pada taraf seseorang dalam masyarakat. Contoh, ternama,terkenal, masyhur.
xii. Kata sifat suhu membawa makna sejuk panasnya keadaan alam dan jasmani. Contoh,panas,hangat,dingin.
xiii. Kata sifat emosi merujuk perasaan yang muncul disebabkan sesuatu yang berlaku. Contoh,gembira,riang,dukacita.
xiv.Kata  kerja akaliah membawa makna penerapan fikiran atau akal. Contoh,cerdik,pintar,pandai.
xv.Kata sifat akhlak mengambarkan perangai seseorang menurut peraturan agama dan kesusilaan. Contoh, tulus,jujur,bersih,amanah.

GOLONGAN KATA TUGAS
NIK SAFIAH et.al (2008)
ASMAH HAJI OMAR (2009)
Kata tugas ialah golongan kata yang bersifat pelbagai jenis atau heterogen, iaitu tidak boleh menjadi unsur inti bagi frasa-frasa endosentrik: frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif.
-kata tugas dapat dikelompokkan  kepada empat kelompok yang berikut :
1.K      kata penyambung ayat
-ial        kata hubung, iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk.

a)             Kata hubung
-kata hubung gabungan
Jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau    lebih yang sama tara sifatnya.Contohnya: dan, lalu, serta, sambil, atau, malahan
-kata hubung pancangan
Jenis kata hubung yang menyambung klausa tak setara atau klausa pancangan pada klausa utama atau klausa induk.Kata hubung pancangan terbahagi kepada 3 jenis iaitu:
i- keterangan
Berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi keterangan pada klausa utama.Contohnya: kerana, agar,semasa, ketika, untuk, apabila, kalau dll.
ii- komplemen
Berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap apda klausa utama.
Contohnya ada dua iaitu: bahawa dan untuk.
iii- relatif
Berfungsi menghubungkan klausa utama dengan klausa kecil yang lain.
Contohnya: yang
2. Kata praklausa
-sejumlah perkataan yang terletak di hadapan klausa, yang terdiri daripada :
i. Kata seru
Bentuk kata yang berfungsi melahirkan berbagai-bagai perasaan dan digunakan dalam ayat seruan.
Contohnya: aduh, aduhai, ah, amboi, cih, cis, eh, nak, oh, wah, dan wahai.
ii. Kata tanya
Perkataan yang digunakan untuk menanyakan sesuatu atau menyoalkan sesuatu.
Contohnya: mengapa, bagaimana, berapa, bila, apa, siapa, mana.
iii.Kata perintah
Bertujuan menimbulkan sesuatu tindak balas terhadap perintah, arahan, larangan, silaan, atau permintaan.
Contohnya: jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong, harap.
iv.Kata pembenar
Perkataan yang mengesahkan sesuatu pernyataan.
Contohnya: ya, benar, dan betul.
v. Kata pangkal ayat
Perkataan yang hadir di bahagian hadapan ayat yang menjadi penanda kesinambungan ayat dalam wacana.
Contohnya: hatta, maka, adapun, arakian, sebermula, alkisah
3.            Kata prafrasa dan pascafrasa
-sejumlah perkataan yanghadir sebelum dan sesudah empat frasa tersebut.
i. Kata bantu (sebelum frasa)
Jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif, dan frasa sendi nama dengan menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam.
Kata bantu di bahagikan kepada 2 kumpulan iaitu:
-Kata bantu aspek
Menimbulkan suasana perbezaan masa, iaitu masa lampau, masa kini atau masa hadapan.
Contohnya: telah, sudah, baru, pernah, masih, mula, belum, akan, sedang.
-Kata bantu ragam
Bentuk kata yang menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan.
Contohnya: hendak, mahu, harus, mesti, dapat, boleh.

ii. Kata penguat
Perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif.Ada 3 jenis kata penguat iaitu:
-Kata penguat hadapan
Perkataan yang terletak di hadapan frasa atau kata adjektif.
Contohnya : terlalu, paling, agak, cukup, makin, dan kurang.
-Kata penguat belakang
Perkataan yang terletak di belakang frasa atau kata adjektif.
Contohnya:  sekali, benar, betul, nian.
-Kata penguat bebas
Perkataan yang terletak di hadapan atau pun di belakang frasa atau kata adjektif.
Contohnya: amat, sangat, dan sungguh.
iii. Kata penegas
Sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.Terdapat dua jenis kata penegas iaitu :Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya.
Contohnya, -kah, -tah, -lah

-       Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat iaitu subjek atau predikat.
Contohnya, juga, jua, pun, sahaja, lagi dan memang.
iv.Kata naïf
Perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat.Contohnya : bukan dan tidak.
v. Kata pemeri
Unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.Terdapat dua cara iaitu,

-       Secara persamaan antara subjek dengan predikat atau ekuatif, dengan penggunaan kata pemeri ialah.
-Secara huraian tentang subjek oleh predikat, dengan penggunaan kata pemeri adalah.
vi. Kata sendi nama
Perkataan yang terletaknya di hadapan frasa nama.Contohnya: di, bagi, laksana, antara, untuk, dalam, sampai, pada, kepada, dari, daripada, ke, bagai, akan, oleh, dll.
vii. Kata arah
Sejumlah perkataan yang hadir sebelum frasa nama dan lazimnya sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau jurusan.Contohnya: atas, bawah, tepi, belakang, hadapan, tengah, sudut, sisi, luar, utara, selatan, dll.

viii. Kata bilangan
Sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah pada frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut.Jenis kata bilangan ialah :
-       Jumlah yang tentu. Contohnya, dua, sejuta, seribu, tiga, sepuluh, dll
-       Bilangan tak tentu. Contohnya, semua, para, beberapa, seluruh, banyak, sedikit dll.
-       Himpunan. Contohnya, beribu-ribu, berguni-guni, bertiga-tiga, dll.
-       Pisahan. Contohnya masing-masing, setiap, tiap-tiap.
-       Pecahan. Contohnya setengah, dua pertiga, dll.
ix. Kata adverba
Perkataan yang menerangkan kata kerja, kata adjektif, kata nama, dan frasa sendi nama dari segi cara, masa dan tempat.Contohnya, selalu, sentiasa, esok, dan sering kali.
4. Kata pascakata
-satu bentuk kata yang hadir selepas perkataan. Bentuk itu ialah –nya yang berfungsi sebagai penekan dan pembenda.Antara bentuk kata demikian ialah sesungguhnya, nampaknya, lajunya, dan datangnya.
i. Kata penekan
Bentuk yang memberikan penegasan kepada kata yang bergabung dengannya.
Contohnya: Lapisan ozon sesungguhnya semakin menipis.
ii. Kata pembenda
Bentuk yang menjadikan sesuatu perkataan yang bukan daripada kata nama sebagai kata nama.
Contohnya: Lajunya ialah 100km sejam.

Kata adverba ialah kata yang berfungsi pada ajung ayat dalam struktur subjek-predikat-objek-anjung.Kata adverba boleh dibahagikan kepada 29.
1. Adverba tempat menerangkan di mana peristiwa/perbuatan itu berlaku.  Contoh; situ,sini,sana,luar.
2.Adverba arah yang menyatakan dari mana atau ke mana bergeraknya sesuatu perbuatan/peristiwa.Contoh; pergi- Dia sudah pergi sekolah.
3. Adverba waktu iaitu kata/frasa/klausa yang menjawab pertanyaan bila sesuatu peristiwa itu berlaku. Contoh; sekarang,kini dulu,kelak
4.Adverba alat menjawab pertanyaan dengan apa sesuatu itu dilakukan. Contoh; dengan pisau,dengan kereta.
5.Adverba penyertaan menjawab dengan siapa sesuatu itu dilakukan. Contoh; dengan ,bersama.
6.Adverba gaya menerangkan bagaimana atau dengan gaya yang bagaimana sesuatu perbuatan dilakukan. Contoh; perlahan-lahan,cepat.
7.Adverba muasal menjawab dari apa sesuatu itu disempurnakan. Contoh; dari kulit,dari marmar.
8. Adverba manfaat menjawab pertanyaan untuk siapa,kepada siapa atau dari siapa sesuatu perbuatan itu dilakukan. Contoh; kepada adik,untuk tetamu,dari rumah.
9. Adverba durasi menerangkan jangka waktu yang terus-menerus yang menjadi konteks sesuatu perbuatan/peristiwa. Contoh; sentiasa,sebentar,sekejap.
10. Adverba kekerapan menerangkan berapa kali sesuatu perbuatan/peristiwa berlaku. Contoh; selalu,kadang-kadang.
11. Adverba perbatasan menunjukkan batas atau hadnya sesuatu perbuatan/peristiwa. Contoh menggunakan gabungan antara hanya atau Cuma dengan sahaja.
12. Adverba perhinggaan menerangkan tempat atau waktu berakhirnya perbuatan/peristiwa.Contoh sampai mana,hingga bila,sampai bila.
13.  Adverba cara menunjukkan cara atau kaedah sesuatu perbuatan. Contoh; begini,begitu,demikian.
14. Adverba permulaan menunjukkan permulaan perbuatan/peristiwa. Contoh; sejak,semenjak,mulai.
15. Adverba kesungguhan mempersungguhkan sesuatu perbuatan/peristiwa.Contoh betul-betul,benar-benar,sama sekali.
16. Adverba musabab hanya didukung oleh klausa yang ditandai kata hubung sebab,kerana,oleh sebab,oleh kerana.
17.Adverba tujuan menyatakan tujuan sesuatu perbuatan/peristiwa.Contoh; agar,supaya,untuk.
18. Adverba syarat menyatakan syarat yang dikenakan untuk berlakunya sesuatu perbuatan. Contoh; jika,kalau,andaikata,seandainya.
19. Adverba tolak ansur menyatakan 2 keadaan yang menjadikan konteks berlakunya sesuatu perbuatan/peristiwa. Contoh;sungguhpun,meskipun,walaupun.
20.Adverba kiasan adalah adverba yang mengkiaskan sesuatu perbuatan itu kepada perbuatan/peristiwa lain. Contoh; seperti,laksana,umpama,semacam.
21. Adverba pemastian mempunyai fungsi untuk memastikan sesuatu perbuatan yang belum berlaku. Contoh; pasti,tentu,tentu sekali.
22.Adverba kejauhan menerangkan jarak jauhnya sesuatu perbuatan itu dari titik permulaan sampai ke titik penghujungnya. Contoh; dua batu,lima kilometer
23.Adverba pemakinan menerangkan keadaan /sifat yang mengalami peningkatan dari pelbagai-bagai aspek. Contoh; makin,semakin.
24.Adverba tanya ialah kata /frasa tanya,bukan kata ganti tanya dan yang memerlukan sebagai jawapan kata/frasa yang berfungsi sebagai adverba.Contoh; sampai bila?,untuk siapa? berapa orang?
25.Adverba mentara menunjukkan adanya perbuatan yang lain yang menjadi konteks perbuatan utama. Contoh; sementara,sambil.
26.Adverba rujukan menerangkan rujukan yang menjadi konteks berlakunya sesuatu perbuatan.Contoh; menurut,mengikut,berhubung dengan.
27. Adverba perbandingan ialah subgolongan adverba yang menerangkan kata sifat.Adverba ini didukung oleh bentuk kata dan juga rangkai kata.
28. Adverba agentif ialah adverba yang menunjuk kepada pelaku perbuatan. Contoh ;oleh Ahmad.
29. Adverba anafora adalah merujuk pada pernyataan dalam ayat sebelumnya. Contoh;oleh itu,lagi pula, namun.






RUMUSAN
            Penggolongan kata merupakan satu proses  menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama. Penggolongan kata penting kerana kita dapat meletakkan gatra tertentu dalam ayat. Perkataan dalam bahasa Melayu bersifat berubah-ubah seperti ‘chameleon’ iaitu perubahan mengikut fungsinya dalam ayat.Justeru itu kita perlu mempelajari konsep penggolongan kata dengan betul agar boleh membezakan mengikut kelas kata tersebut. Dalam menggolongkan kata, Nik Safiah et.al (2008) dan Asmah Haji Omar (2009)  menggunakan empat kriteria dalam linguistik iaitu morfologi,sintaksis,semantik dan fonologi.Walaupun terdapat perbezaan dalam  golongan kata utama antara  Nik Safiah et.al (2008) dan Asmah Haji Omar (2009),namun teknik mengkelasannya masih sama iaitu menggunakan empat kriteria utama.  Kata adverba dimasukkan sebagai subkelas kata di bawah kelas kata tugas oleh Nik Safiah et.al tetapi Asmah Haji Omar mengolongkanya sebagai golongan kata utama. Manakala Asmah mengkelaskan kata nama di bawah subgolongan benda berbanding Nik Safiah et.al yang menggolongkannya sebagai golongan utama. Selain itu, kata sifat dan kata kerja berada di bawah subgolongan karyaan oleh Asmah  manakala Nik Safiah et.al menggolongkannya di bawah golongan utama. Buku Nahu Melayu Mutakhir merupakan hasil kajian yang mendalam tentang golongan kata memandangkan pengunaannya yang pesat pada masa kini. Sesuatu bidang ilmu boleh dikaji dan diolah dari berbagai-bagai sudut fikiran ,yang dalam itu sendiri ditunjangi oleh teori dan pendekatan. Asmah Haji Omar (2009)  melihat bahasa secara eklektik. Dengan pendekatan seperti itu, maka cara pemaparan butir-butir bahasa bersifat maksimalis dan dengan  demikian memberi kemungkinan menerangkan setiap butir yang berlaku dalam bahasa berdasarkan teori utama dan teori tunjangan yang diterapkan. Buku Tatabahasa Dewan  pula merakamkan sistem bahasa Melayu yang merupakan salah satu korpus utama bahasa Melayu dan menjadi pegangan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pelajaran.



RUJUKAN
Siti Hajar Abd Aziz( 2010). Bahasa Melayu 1 Edisi Kedua. Oxford Fajar.
Dr Ali Mahmood et.al (2012). Morfologi dan Sintaksis Bahasa Melayu.OUM.
Raminah Hj Sabran et.al (1984) . Kajian Bahasa.Fajar Bakti Sdn Bhd.
Asmah Haji Omar (2009). Nahu Melayu Mutakhir. DBP.
Nik Safiah Karim et.al ( 2008).Tatabahasa Dewan Edisi ketiga. DBP.






5 ulasan:

  1. salam...penerangan yang amat baik..mohon keizinan buat rujukan..

    BalasPadam
  2. sharing is caring...trm kasih..

    BalasPadam
  3. sangat membantu dalam menyiapkan tugasan saya. Terima Kasih

    BalasPadam
  4. sangat bermanfaat..terima kasih banyak-banyak...mohon izin untuk copy ya...

    BalasPadam
  5. Terima kasih atas perkongsian ini..SUMBER telah diberi dengan baik dan membantu saya untuk membuat tugasan..

    BalasPadam