Rabu, 1 Ogos 2012

SEJARAH KELANTAN


Kertas kerja ini mengandungi kajian mengenai suku bangsa atau etnik  Kelantan dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu.Orang Melayu di Semenanjung Malaysia terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Melayu Anak Dagang dan Melayu Semenanjung. Istilah 'Melayu Semenanjung' merujuk kepada suku-suku pribumi Nusantara yang merupakan penduduk asal Semenanjung.Manakala 'Melayu Anak Dagang' tidak dianggap sebagai pendatang di Semenanjung kerana penduduk Nusantara menganggap bahawa Kepulauan Melayu adalah hak milik bersama. Itu adalah sebab utama mengapa kerajaan Malaysia memberi mereka status Bumiputra.Melayu Semenanjung merangkumi Suku Kelantan dan Patani . Ia merupakan dua suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kerajaan Langkasuka pada abad pertama atau ke-2 Masihi[1].

            Mengikut catatan pelawat-pelawat China yang mengadakan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad ke-2 Masihi, “Lang-ya-shiu” atau Langkasuka (Paul Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu. Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu Melayu silam yang terletak diSemenanjung Tanah Melayu. Kerajaan ini bersama-sama dengan Kerajaan Kedah Tua berkemungkinan merupakan kerajaan yang paling awal di Tanah Melayu. Mengikut satu sumber, kerajaan ini diasaskan pada kurun ke-2 Masihi. Legenda orang Melayu mendakwa bahawa Langkasuka diasaskan di Kedah, dan kemudian berpindah ke Pattani. Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya[2].
            Kerajaan Malaysia mendefinisikan Melayu sebagai penduduk pribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu (Nusantara dalam pengertian di Malaysia), iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut.Di Malaysia, penduduk pribumi dari keturunan suku-suku di Indonesia, seperti MinangkabauJawaAcehBugis, atau Mandailing, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat-istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu selain daripada Melayu Anak Jati yang berasal daripada Tanah Melayu itu sendiri. Bahkan orang bukan pribumi yang berkawin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu[3].

2.0.  KONSEP ETNIK.

            Etnik dapat dilihat daripada perbezaan budaya dan adat resam.Kamus Dewan edisi ke-4 menyatakan etnik merujuk kepada sesuatu kaum yang hidup berlainan tetapi dibawah sistem politik yang sama[4]. Ia jugaboleh diertikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Konsep etnik mempunyai erti yang berkaitan rapat dengan konsep-konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik sering berbeza berdasarkan ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Konsep etnik membentuk konsep etnisiti dan etnosentrisme. Etnisiti merujuk kepada rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama[5]. Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Etnosentrisme juga membawa makna suatu perspektif yang melihat kelompok etnik lain menerusi lensa dan kaca mata etnik sendiri.

3.0.SEJARAH AWAL KERAJAAN KELANTAN

            "Kelantan" berasal  daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Namun begitu kebanyakkan pengkaji sejarah bersetuju  negeri Kelantan mendapat nama daripada perkataan “ kilatan”. Pada kurun ke-5, negeri Kelantan dikenali sebagai “ Kelatana” manakala catatan Cina pula menyebut negeri Kelantan sebagai “ Ho lo tan”. Dengan perbagai pendapat itu,negeri Kelantan diberi nama “ Medan Kilatan Salji” dan setersnya dikenali sebagai Kilatan.Akhirnya peredaran zaman, maka terhasillah nama Kelantan sahaja.Keadaan ini bersesuaian dengan terjumpanya duit syiling yang tercatat tahun 1811. Pada duit itu, terdapat perkataan Bahasa Arab.Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.

            Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi temuan arkeologi mempertunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah.Di dalam sejarah China, Suishu ada menyebutkan tentang negeri yang bernama Chih Tu atau “Red Earth”(Bumi Merah) yang merujuk kepada negeri Kelantan. Pensejarah China pada tahun 607 masehi itu memerikan yang Chih Tu berada di sebuah lokasi di ulu Sungai Kelantan yang menghubungkannya dengan penghasilan emas di Ulu Kelantan dan Ulu Pahang.Chih Tu pernah mempunyai hubungan perdagangan dan diplomatik dengan negara China. Kawasan tengah Langkasuka ini hilang kepentingannya apabila Kiu Li (Kuantan) di selatan Langkasuka menjadi penting kerana hubungannya dengan Sungai Pahang[6].

            Kedudukan Kelantan di dalam kerajaan Langkasuka pula sukar untuk dipisahkan kerana posisi hubungannya dengan Pattani, di mana Pattani bukan hanya berdiri sebagai ibukota dan pelabuhan Langkasuka tetapi sekaligus sebuah negeri besar yang mempunyai lingua-franka yang sama dengan Kelantan, serta hubungan kekeluargaan di kalangan para pemerintahnya.Langkasuka juga dikatakan sebagai sebuah negeri yang bersujud kepada kekuatan kerajaan Funan, terletak di antara Cambodia dan Vietnam, di utara Teluk Siam sekitar abad pertama. Chih Tu, Pattani dan Kallah(Kedah) di dalam Langkasuka mempunyai fungsi yang tersendiri di dalam pemerintahan dan perdagangan yang berpandukan musim dan arah angin itu sehingga menarik perhatian kerajaan-kerajaan besar Asia Tenggara termasuk Sri Wijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera dan Chaiya, Siam, Majapahit di Jawa Timur serta Kesultanan Melaka sendiri.Kerajaan Bumi Merah juga mempunyai sejarah pendudukan awal di rantau ini dan Gua Cha di daerah Gua Musang, Kelantan adalah termasuk di dalam  tapak penemuan pendudukan awal budaya Hoabinhian di utara Semenanjung Tanah Melayu, juga termasuk dalam himpunan tapak-tapak di Vietnam, Thailand, Myanmar dan Utara Sumatera, 13,000 tahun yang  lalu.

            Tapak penemuan tersebut adalah meliputi lindungan batu kapur yang paling penting sekitar Malaysia. Dalam  zaman Neolithik, iaitu 2000 sebelum masehi pula timbul artifak dan seramik di Gua Cha dan Gua Musang yang mempunyai kesan gabungan masyarakat Mon dari barat utara dan Khmer dari timur utara Siam (Thailand dibentuk pada tahun 1934) yang menghasilkan budaya Ban Kao Khok Phnom Di di tengah-tengah negara Thailand sekarang ini. Mungkin ini terjadi hasil daripada penghijrahan pertanian kaum austro-asiatik dan pelayaran kaum austronesian. Kerana itulah adanya lakaran lukisan perahu di dalam gua-gua yang menghubungkan pelayaran dan penghijrahan dalam  kehidupan       mereka[7].



[1] http://virtualfriends.net/article/(2012), Asal Usul Melayu Semenanjung Malaysia.
[4] Kamus Dewan Edisi ke-4(2010),DBP,hlm 402.
[5] Pusat Pendidikan Luar(2011),,Kenegaraan, UPSI,hlm 5.
[6] Nurul Hanim Ismail(2007),Kelantan, Nur Ilmu Publications,hlm 7.
[7] Boris Parnickel(1997), Kebudayaan Nusantara,DBP, hlm 31.