Rabu, 1 Ogos 2012

SEJARAH KELANTAN


Kertas kerja ini mengandungi kajian mengenai suku bangsa atau etnik  Kelantan dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu.Orang Melayu di Semenanjung Malaysia terbahagi kepada 2 kumpulan iaitu Melayu Anak Dagang dan Melayu Semenanjung. Istilah 'Melayu Semenanjung' merujuk kepada suku-suku pribumi Nusantara yang merupakan penduduk asal Semenanjung.Manakala 'Melayu Anak Dagang' tidak dianggap sebagai pendatang di Semenanjung kerana penduduk Nusantara menganggap bahawa Kepulauan Melayu adalah hak milik bersama. Itu adalah sebab utama mengapa kerajaan Malaysia memberi mereka status Bumiputra.Melayu Semenanjung merangkumi Suku Kelantan dan Patani . Ia merupakan dua suku pribumi Semenanjung yang mendirikan Kerajaan Langkasuka pada abad pertama atau ke-2 Masihi[1].

            Mengikut catatan pelawat-pelawat China yang mengadakan hubungan diplomatik dengan negeri-negeri Asia Tenggara pada abad ke-2 Masihi, “Lang-ya-shiu” atau Langkasuka (Paul Wheatley 1961, 387-412) sudahpun wujud ketika itu. Berpandukan catatan tersebut ahli-ahli sejarah Eropah percaya bahawa negeri Langkasuka yang terletak di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu antara Senggora (Songkhla) dan Kelantan itu adalah lokasi asal negeri Patani. Langkasuka ialah sebuah kerajaan Hindu Melayu silam yang terletak diSemenanjung Tanah Melayu. Kerajaan ini bersama-sama dengan Kerajaan Kedah Tua berkemungkinan merupakan kerajaan yang paling awal di Tanah Melayu. Mengikut satu sumber, kerajaan ini diasaskan pada kurun ke-2 Masihi. Legenda orang Melayu mendakwa bahawa Langkasuka diasaskan di Kedah, dan kemudian berpindah ke Pattani. Persoalan bagaimana Langkasuka bertukar menjadi Patani masih belum dapat dipastikan oleh para pengkaji sejarah kerana tidak ada sebarang cacatan sejarah yang jelas mengenainya[2].
            Kerajaan Malaysia mendefinisikan Melayu sebagai penduduk pribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu (Nusantara dalam pengertian di Malaysia), iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut.Di Malaysia, penduduk pribumi dari keturunan suku-suku di Indonesia, seperti MinangkabauJawaAcehBugis, atau Mandailing, yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam dan mengikuti adat-istiadat Melayu, semuanya dianggap sebagai orang Melayu selain daripada Melayu Anak Jati yang berasal daripada Tanah Melayu itu sendiri. Bahkan orang bukan pribumi yang berkawin dengan orang Melayu dan memeluk agama Islam juga diterima sebagai orang Melayu[3].

2.0.  KONSEP ETNIK.

            Etnik dapat dilihat daripada perbezaan budaya dan adat resam.Kamus Dewan edisi ke-4 menyatakan etnik merujuk kepada sesuatu kaum yang hidup berlainan tetapi dibawah sistem politik yang sama[4]. Ia jugaboleh diertikan sebagai sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi. Konsep etnik mempunyai erti yang berkaitan rapat dengan konsep-konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian darah yang sama) antara sesama manusia. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya. Etnik sering berbeza berdasarkan ciri budaya seperti adat resam, pola keluarga, pakaian, pandangan mengenai kecantikan, orientasi politik, kegiatan ekonomi dan hiburan. Konsep etnik membentuk konsep etnisiti dan etnosentrisme. Etnisiti merujuk kepada rasa kekitaan sesuatu kumpulan etnik tertentu. Hal ini bererti wujudnya satu kebudayaan atau sub budaya yang jelas yang menyatukan anggotanya dengan satu sejarah, nilai, sikap dan tingkah laku yang sama[5]. Etnosentrisme pula merujuk kepada kepercayaan atau rasa bangga yang wujud dalam kalangan anggota sesebuah kelompok etnik bahawa budaya dan etnisiti mereka adalah jauh lebih baik dan hebat daripada kelompok lain. Etnosentrisme juga membawa makna suatu perspektif yang melihat kelompok etnik lain menerusi lensa dan kaca mata etnik sendiri.

3.0.SEJARAH AWAL KERAJAAN KELANTAN

            "Kelantan" berasal  daripada perkataan "gelam hutam", iaitu nama Melayu bagi pokok Melaleuca leucadendron. Ada juga yang mengatakan bahawa namanya datang daripada perkataan "kilatan" atau "kolam tanah". Namun begitu kebanyakkan pengkaji sejarah bersetuju  negeri Kelantan mendapat nama daripada perkataan “ kilatan”. Pada kurun ke-5, negeri Kelantan dikenali sebagai “ Kelatana” manakala catatan Cina pula menyebut negeri Kelantan sebagai “ Ho lo tan”. Dengan perbagai pendapat itu,negeri Kelantan diberi nama “ Medan Kilatan Salji” dan setersnya dikenali sebagai Kilatan.Akhirnya peredaran zaman, maka terhasillah nama Kelantan sahaja.Keadaan ini bersesuaian dengan terjumpanya duit syiling yang tercatat tahun 1811. Pada duit itu, terdapat perkataan Bahasa Arab.Selain itu Negeri Kelantan juga dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga, Tanjung Pura, Negeri Cik Siti Wan Kembang dan Serambi Mekah pada masa dahulu.

            Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi temuan arkeologi mempertunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah.Di dalam sejarah China, Suishu ada menyebutkan tentang negeri yang bernama Chih Tu atau “Red Earth”(Bumi Merah) yang merujuk kepada negeri Kelantan. Pensejarah China pada tahun 607 masehi itu memerikan yang Chih Tu berada di sebuah lokasi di ulu Sungai Kelantan yang menghubungkannya dengan penghasilan emas di Ulu Kelantan dan Ulu Pahang.Chih Tu pernah mempunyai hubungan perdagangan dan diplomatik dengan negara China. Kawasan tengah Langkasuka ini hilang kepentingannya apabila Kiu Li (Kuantan) di selatan Langkasuka menjadi penting kerana hubungannya dengan Sungai Pahang[6].

            Kedudukan Kelantan di dalam kerajaan Langkasuka pula sukar untuk dipisahkan kerana posisi hubungannya dengan Pattani, di mana Pattani bukan hanya berdiri sebagai ibukota dan pelabuhan Langkasuka tetapi sekaligus sebuah negeri besar yang mempunyai lingua-franka yang sama dengan Kelantan, serta hubungan kekeluargaan di kalangan para pemerintahnya.Langkasuka juga dikatakan sebagai sebuah negeri yang bersujud kepada kekuatan kerajaan Funan, terletak di antara Cambodia dan Vietnam, di utara Teluk Siam sekitar abad pertama. Chih Tu, Pattani dan Kallah(Kedah) di dalam Langkasuka mempunyai fungsi yang tersendiri di dalam pemerintahan dan perdagangan yang berpandukan musim dan arah angin itu sehingga menarik perhatian kerajaan-kerajaan besar Asia Tenggara termasuk Sri Wijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera dan Chaiya, Siam, Majapahit di Jawa Timur serta Kesultanan Melaka sendiri.Kerajaan Bumi Merah juga mempunyai sejarah pendudukan awal di rantau ini dan Gua Cha di daerah Gua Musang, Kelantan adalah termasuk di dalam  tapak penemuan pendudukan awal budaya Hoabinhian di utara Semenanjung Tanah Melayu, juga termasuk dalam himpunan tapak-tapak di Vietnam, Thailand, Myanmar dan Utara Sumatera, 13,000 tahun yang  lalu.

            Tapak penemuan tersebut adalah meliputi lindungan batu kapur yang paling penting sekitar Malaysia. Dalam  zaman Neolithik, iaitu 2000 sebelum masehi pula timbul artifak dan seramik di Gua Cha dan Gua Musang yang mempunyai kesan gabungan masyarakat Mon dari barat utara dan Khmer dari timur utara Siam (Thailand dibentuk pada tahun 1934) yang menghasilkan budaya Ban Kao Khok Phnom Di di tengah-tengah negara Thailand sekarang ini. Mungkin ini terjadi hasil daripada penghijrahan pertanian kaum austro-asiatik dan pelayaran kaum austronesian. Kerana itulah adanya lakaran lukisan perahu di dalam gua-gua yang menghubungkan pelayaran dan penghijrahan dalam  kehidupan       mereka[7].



[1] http://virtualfriends.net/article/(2012), Asal Usul Melayu Semenanjung Malaysia.
[4] Kamus Dewan Edisi ke-4(2010),DBP,hlm 402.
[5] Pusat Pendidikan Luar(2011),,Kenegaraan, UPSI,hlm 5.
[6] Nurul Hanim Ismail(2007),Kelantan, Nur Ilmu Publications,hlm 7.
[7] Boris Parnickel(1997), Kebudayaan Nusantara,DBP, hlm 31.

Isnin, 30 Julai 2012

DIALEK KELANTAN


1.0. PENGENALAN
       Setiap etnik dan masyarakat mempunyai identiti sendiri untuk menggambarkan keunikan masing-masing. Bagi masyarakat negeri Kelantan ,terdapat beberapa keistimewaan yang menjadi kebanggaan mereka seterusnya menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang dikenali ramai di Malaysia. Keunikan ini jugalah yang menjadi salah satu faktor yang mempopularkan Kelantan di kalangan pelancong dalam dan luar negara. Ia menjadikan Kelantan berbeza dengan negeri-negeri lain di Malaysia walaupun mejoriti rakyatnya berbangsa Melayu. Antara keunikan Kelantan ialah penggunaan dialek Kelantan, kesusasteraan ,kebudayaan dan kesenian yang diwarisinya daripada nenek moyang mereka. Malahan warisan-warisan ini masih lagi subur dan diamalkan oleh masyarakat Kelantan.

2.0. DIALEK KELANTAN
Perkataan 'dialek' berasal daripada bahasa Yunani iaitu 'dialektos' iaitu perkataan yang pada mulanya digunakan dalam hubungannya dengan bahasa Yunani pada waktu itu. Dialek ialah variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa. Dialek mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk yang standard/ baku dari segi sebutan, tatabahasa, dan penggunaan kata-kata tertentu, tetapi perbezaannya tidaklah begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain. Dialek selalunya digunakan dalam situasi formal atau rasmi, namun terdapat kecenderungan pengguna bahasa yang mencampurkan unsur dialek dalam penggunaan pada situasi          formal.

          Faktor-faktor yang menimbulkan dialek terdiri daripada faktor-faktor geografis, politik, penjajahan, perdagangan, masa, dan seumpamanya. Faktor politik contohnya telah membahagi-bahagikan negara ini kepada unit-unit politik yang lebih kecil yang mewujudkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu,dan Kelantan.


          Akhirnya menimbulkanpelbagai dialek.Bahasa Melayu Kelantan adalah bahasa lisan setempat yang digunakan di negeri Kelantan, Malaysia, serta daerah Besut dan Pulau Perhentian Terengganu. Masyarakat di beberapa daerah di Kedah seperti Baling, Sik dan Padang Terap juga bertutur di dalam loghat yang hampir serupa dengan bahasa Melayu Kelantan. Ia kadangkala tidak dapat difahami penutur bahasa Melayu standard, walaupun ia mempunyai banyak persamaan. Ia pada asalnya adalah sama bahasa seperti Yawi yang merentasi sempadan di Thailand, Yawi merupakan salah satu bahasa, Yawi (Jawi dalam bahasa Melayu) merujuk kepada penterjemahan Arab untuk penulisannya.

           Bagaimanapun, mungkin terdapat beberapa perbezaan pendapat antara sebelah Yawi dan sebelah Kelantan, satu kajian terperinci perlu dilakukan untuk mengetahui siapa yang benar-benar mengetahui. Kelantan secara tradisinya menulis Arab,sebagai Yawi. Terdapat pendapat mengatakan yang adalah sepenuhnya bertentangan dengan bahasa Melayu baku, dan bahasa Melayu Kelantan adalah lebih tua dan mempunyai sejarah yang lebih bermakna (menulis Bahasa Arab) daripada bahasa Melayu baku. Bahasa Melayu Terengganu juga berbeza daripada bahasa Melayu Kelantan dan bahasa Melayu baku.
           
Di antara beberapa subdialek yang ada di Kelantan, subdialek Kota Bharu dianggap sebagai subdialek yang standard. Dengan kata lain, subdialek inilah yang digunakan oleh orang-orang golongan atasan di Kelantan dalam pertuturan mereka jika mereka tidak menggunakan bahasa standard, bahkan dalam pertuturan sehari-hari pun. Subdialek ini dituturkan di daerah Kota Bharu dan bepusat di Bandar Kota Bharu sendiri. Di sinilah terdapat pusat pentadbiran perdagangan dan penyebaran budaya Kelantan. Di sini jugalah terdapat tempat bersemayam keluarga di raja Kelantan. Dengan itu, subdialek yang dituturkan di daerah ini oleh orang-orang Kelantan sendiri dianggap sebagai subdialek yang ‘tinggi’ yang menjadi tolok atau model dalam penggunaan bahasa bagi orang-orang Kelantan dari daerah-daerah lain.
Jika membuat perbandingan antara subdialek Kota Bharu dengan bahasa Melayu baku, terdapat beberapa kelainan yang ketara di dalam bidang-bidang tertentu, seperti:
                     i.        Fonologi
                    ii.        Morfologi
                   iii.        Ayat
                   iv.        Leksikal


2.1. FONOLOGI
            Fonologi merupakan satu kajian terhadap bunyi-bunyi bahasa. Hal ini bermaksud, bidang fonologi menentukan sistem bunyi satu-satu bahasa dengan berdasarkan jenis-jenis bunyi sama ada bunyi itu distingtif atau tidak distingtif. Dalam bidang ini, didapati wujud dua kelainan yang ketara di antara subdialek Kota Bharu dengan bahasa Melayu  iaitu dalam aspek pengucapan dan fonem.
Cara untuk mengungkapkan atau mengucapkan kata dalam subdialek Kota Bharu berlainan dengan cara mengucapkannya dalam bahasa Melayu . Sebagai contoh, penutur subdialek Kota Bharu mengucapkan [כ  ε] untuk [oran] dan [kitכ] untuk [kitә]. Berikut merupakan contoh perkataan-perkataan yang menunjukkan ucapan yang berlainan di antara subdialek Kota Bharu dengan bahasa Melayu baku:

Subdialek Kota Bharu                                            Bahasa Melayu        
           
            [kuba]                                                             [kәrbau]          ‘Kerbau’
            [harε]                                                               [haram]          ‘Haram’
             [m ?tε]                                                          [rambotan]      ‘Rambutan’
             [abih]                                                            [habes]            ‘Habis’
             [bahaso]                                                      [bahasә]           ‘Bahasa’

           
            Subdialek Kota Bharu ini mempunyai ciri pemanjangan yang khususnya terletak pada awal kata. Proses ini berlaku dalam kata atau antara kata. Jika proses ini merupakan proses dalam kata, maka perkataan yang berkenaan biasanya terdiri daripada tiga suku kata yang suku kata pertamanya digugurkan. Suku kata yang digugurkan itu akan digantikan dengan menimbulkan kepanjangan pada konsonan pertama pada suku kata kedua perkataan yang berkenaan. Suku kata yang digugurkan itu boleh merupakan salah satu awalan dan boleh juga tidak. Dalam kes yang pertama, suku kata tersebut merupakan ciri morfologi, yakni suku kata berkenaan merupakan salah satu awalan. Sebaliknya, dalam kes yang kedua, suku kata yang terlibat hanya merupakan ciri fonologi sahaja bagi perkataan yang mendukungnya yakni suku kata yang demikian itu tidak medukung sebarang makna.

            Kota Bharu                           Bahasa Melayu

            [nnik h]                                   [mәnikah]
            [nnak ?]                                  [pәnakot]
            [nna i]                                     [pәnari]
           
2.2. MORFOLOGI
            Bentuk yang berlainan dalam bidang morfologi di antara subdialek Kota Bharu dengan bahasa Melayu dapat dilihat dalam aspek-aspek struktur morfem terikat, jenis dan jumlah morfem terikat serta kekerapan penggunaan morfem terikat.Struktur morfem terikat dalam subdialek Kota Bharu berlainan dengan struktur morfem terikat dalam bahasa Melayu. Umpamanya, hanya terdapat satu jenis struktur awalan dalam subdialek Kota Bharu iaitu KV yang pengucapan Vnya tidak begitu jelas, misalnys {sә-} seperti dalam /sebesa/ ‘sebesar’, sedangkan dalam bahasa Melayu terdapat dua jenis iaitu (i) KV yang pengucapan Vnya lebih jelas sedikit daripada yang diucapkan dalam subdialek Kota Bharu, misalnya {sә-} dalam /sepandai/ ‘sepandai’ dan (ii) KVK, misalya {bәr-} seperti dalam /berjalan/ ‘berjalan’. Berikut merupakan perbandingan stuktur awalan di antara subdialek Kota Bharu dengan bahasa Melayu.
            Kota Bharu                           Bahasa Melayu
            KV                                          KVK
            {be-}                                       {ber-}
            {te-}                                        {ter-}
            {pe-}                                       {pe-}
            {me-}                                      {me-}
            {ke-}                                       {ke-}
            {se-}                                       {se-}
2.3. AYAT
            Kelainan yang terdapat dalam bidang ayat di antara subdialek Kota Bharu dengan Bahasa Melayu wujud dalam aspek-aspek susunan ayat pasif,Susunan kata aspek /d h/ ‘sudah’ dalam ayat dan susunan kata kesangatan dalam ayat.Ayat pasif dalam subdialek Kota Bharu didapati mempunyai susunan yang berlainan daripada ayat pasif yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Ayat pasif dalam subdialek ini tidak menggunakan di pasif sebelum kata kerja transitif seperti yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Bentuk ini juga tidak menggunakan kata oleh sebelum pelaku. Ayat pasif dalam subdialek Kota Bharu mempunyai tiga susunan yang berlainan.
(i)         Ayat pasif yang menggunakan kata emfatik /n /an / sebelum kata kerja transitif dengan             diikuti oleh kepanjangan konsonan sebelum pelaku seperti dalam ayat:

            “//kambe kәn makε   ima// ‘kambing dimakan (oleh) harimau.”

(ii)        Ayat pasif yang menggunakan kata depan /di/d/ sebelum pelaku seperti dalam ayat:
           
            “//ula kәn kat ? di mama?// ‘ulat itu dipukul (oleh) Mamat.

(iii)       Ayat pasif yang menggunakan kata depan /k / sebelum pelaku seperti dalam ayat:
            //kasu? Tu kәn paka k diy // “kasut itu dia pakai, oleh dia.”

2.4. LEKSIKAL
            Oleh sebab subdialek Kota Bharu merupakan satu daripada dialek-dialek Bahasa Melayu, maka banyak sekali kata-kata atau unsur-unsur leksikal dalam subdialek Kota Bharu yang sama dengan yang terdapat dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelainan dalam bidang leksikal seperti berikut:
Kata-kata yang ada dalam subdialek Kota Bharu tetapi tidak terdapat dalam Bahasa Melayu.
Kata-kata yang terdiri daripada satu suku kata. Mengikut Ismail Hussein, pengaruh daripada bahasa Thai telah  menyebabkan timbulnya kemiripan untuk menunggalkan suku kata di dalam kata-kata yang bersuku kata dua. Beliau juga menerangkan bahawa peminjaman unsur-unsur leksikal daripada bahasa Thai banyak sekali berlaku dalam subdialek Kota Bharu.
            Dialek Kelantan mempunyai banyak kata yang sama dengan bahas Melayu, tetapi kata-kata   tersebut mempunyai erti yang berlainan sama sekali dengan Bahasa Melayu.Dalam subdialek Kota Bharu, terdapat banyak perkataan yang tidak terdapat dalam Bahasa Melayu. Perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksudnya tersendiri dan sering digunakan dalam pertuturan orang Kelantan. Berikut merupakan senarai beberapa perkataan tersebut[1].
Subdialek Kota Bharu                                            Bahasa Melayu
            [hunga]                                                           ‘lari’
            [n ]                                                                  ‘kelapa’
            [nepen]                                                           ‘iklan’
            [kәleh]                                                            ‘tengok’
            [k   ε]                                                              ‘kukur kelapa’
            [t ?se]                                                             ‘tidak mahu’
            [kk c ?]                                                                       ‘cakap’
            [jjәla]                                                              ‘lahap’
            [tε]                                                                  ‘pukul’
            [go?]                                                               ‘reban’
            [iga?]                                                              ‘tangkap’
            [j ?o]                                                               ‘redup’




[1] Abdul Hamid Mahmood(2009),Sintaksis Dialek Kelantan,DBP,hlm 73.

AYAT METAFORA


Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua perkara tanpa menggunakan kata perbandingan seperti, bagai,bak,ibarat,laksana dan sebagainya. Ia menghubungkan sesuatu objek atau konsep dengan objek yang lain. Biasanya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas,padat dan tersusun. Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep(abstraksi)dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dikenali oleh masyarakat[1]. Dengan kata lain, perkataan itu mempunyai makna lain untuk tujuan tertentu .Tetapi metafora tidak terikat lagi kepada makna dua lapis dan tidak pula memerlukan pengutaraan perkara yang dijadikan bandingan.Maka, hakikatnya metafora ini dapat dikatakan ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan  atau analogi. Oleh itu, metafora dapat berdiri sendiri sebagai unit sendiri mengambil tempat dan fungsi sendiri dalam struktur sintaksis[2]. Kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora. Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.

1.2. METAFORA DALAM BAHASA MELAYU.

i. “ Kalau sekali Mak Busu membuka mulutnya yang merah asli,maka akan meletuplah mercun berpapan-papan yang entah bila akan hentinya” ( Anis, “Hati Damailah”, Mei 1982)
Di dalam ayat ini,kita harus mengenal pasti perkataan atau frasa yang manakah metafora. Jika ditinjau dengan teliti didapati bahawa mulut Mak Busu atau pertuturan Mak Busu dibandingkan dengan meletuplah mercun berpapan-papan. Perbandingan ini dilakukan bukan dari aspek fizikalnya atau pertuturan Mak Busu tidak dibandingkan dengan pola fizikal mercun berpapan-papan. Tidak ada sebarang kesamaan lahiriah yang wujud antara pertuturan Mak Busu dengan mercun berpapan-papan. Perbandingan yang dilakukan ialah tentang aspek audio iaitu bunyi antara pertuturan Mak Busu yang kuat dan tidak henti-henti dengan bunyi letupan bunyi yang berterusan. Perbandingan juga mungkin dilakukan dari aspek sikap,mungkin nada tidak senang hati dengan apabila mendengar leteran Mak Busu yang berjela-jela dan lantang bunyinya.

            Di dalam penggunaan metafora tersebut,peri lantang dan tidak henti-hentinya leteran dan pertuturan Mak Busu menjadi lebih hidup dan berkesan. Antara pertuturan Mak Busu dan letupan mercun berpapan-papan terdapat ketidaksuaian dari aspek semantik. Kedua-dua subjek ini amat berbeza. Tetapi dengan lencongan yang dilakukan dalam ayat tersebut,terjelmalah kesesuaiannya. Pembinaan metefora berdasarkan pemilihan,penekanan dan pembentukkan ciri-ciri pada subjek utama dengan mengimplikasikan pernyataan tentangnya yang diaplikasikan kepada subjek kedua. Ciri utama pada pertuturan Mak Busu digambarkan mengikut ciri-ciri yang biasanya terjadi pada subjek kedua iaitu bunyi letupan mercun. Dengan  yang demikian, metafora mengimplikasikan pernyataan tentang objek-objek yang dilihat melalui kanta istemewa.Dengan kata lain,perkataan-perkataan lama itu diberi pengertian baru. Hal ini bermakna metafora dibina sebagai satu proses linguistik untuk mengubah pengertian harafiah tentang bahasa kiasan yang dicipta[3].

ii. “Usah diperisterikan anak Pak Daud itu. Dia kelapa ditebuk tupai.”

            Kelapa ditebuk tupai adalah metafora kepada anak dara yang  sudah kehilangan daranya. Ia berbentuk sindiran penghinaan kepada seseorang yang ketiadaan daranya.  Objek konkritnya adalah buah kelapa dan abstraksinya ditebuk tupai. Ia dibandingkan dengan buah kelapa apabila telah ditebuk oleh tupai, biasanya ia akan dibuang oleh masyarakat kerana sudah rosak, tidak dapat menghasilkan santan dan kemungkinannya juga masam  dan layak dibuang sahaja. Disini anak Pak Daud dibandingkan dengan buah kelapa yang sememangnya banyak kegunaannya oleh masyarakat dahulu  dan amat berguna terutamanya dalam kalangan kaum wanita untuk memasak. Buah kelapa yang masih elok biasanya menjadi rebutan begitu juga dengan gadis yang masih mempunyai dara. Masyarakat Melayu dahulu amat mementingkan maruah keluarga dan akan memilih calon menantu yang masih dara.Oleh itu,anak-anak dara tidak dibiarkan hidup bebas dan bergaul mesra dengan kaum lelaki sehingga mempunyai hubungan yang benar-benar sah. Tupai ialah haiwan  perosak dan dibandingkan dengan kaum lelaki kerana biasanya kaum lelakilah yang akan menyebabkan anak gadis kehilangan daranya samaada berbentuk paksaan(rogol) ataupun sukarela. Kaum lelaki tidak sepatutnya mengambil kesempatan pada anak gadis kerana ia akan mengelapkan masa hadapan anak gadis kerana  setiap pasangan sudah tentu inginkan calon isteri yang masih dara dan tidak rosak.Kiasan  ini mengambarkan bertapa hinanya anak gadis yang tidak mempunyai dara sehingga langsung tidak layak untuk dijadikan isteri. Kiasan ini digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai peringatan kepada keluarga agar sentiasa menjaga maruah anak gadis masing-masing supaya tidak dipandang hina. Oleh itu, jelaslah ia dapat dikaitkan dengan teori Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.

iii. “Kita perlu tabah menghadapi gelombang kehidupan masa kini”.

            Menurut Lakoff dan Johnson,kebanyakkan sistem konseptual biasa kita dari segi kita berfikir,bertindak dan bertutur tersusun secara metafora. Ini bermakna konsep metafora berperanan untuk menyusun keseluruhan medan pengalaman berdasarkan medan lain[4]. Gelombang kehidupan merupakan metafora yang digunakan dalam ayat ini. Ciri-ciri yang terdapat pada subjek utama yakni gelombang diaplikasikan pada kehidupan untuk memerikan lagi kesannya. Biasanya masyarakat menyebut laut bergelombang .Gelombang adalah sesuatu  yang konkrit,boleh dilihat dan biasanya diketahui oleh masyarakat yang berkaitan dengan keadaan laut yang bergelora dan kehidupan pula bersifat abstraksi kerana kehidupan adalah sesuatu yang perlu dilalui oleh seseorang semasa hayatnya. Masyarakat dahulu yang rata-ratanya nelayan sudah tentunya maklum akan maksud gelombang itu. Dengan yang demikian, metafora mengimplikasikan pernyataan tentang objek-objek yang dilihat melalui kanta istimewa.Sebenarnya ia dikiaskan kepada rintangan dan cabaran  yang perlu ditempuhi oleh manusia untuk mencapai sesuatu yang dihajati agar meraih kejayaan pada masa hadapan. Seseorang yang inginkan kejayaan sama ada  dalam pelajaran ,pekerjaan dan alam rumah tangga perlulah berusaha bersungguh-sungguh kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Kiasan diatas juga menasihati masyarakat supaya jangan mudah kecewa dan berputus asa sekiranya mengalami kegagalan kerana lumrah kehidupan akan menghadapi pelbagai halangan dan rintangan sebelum berjaya dalam kehidupan masing-masing. Oleh itu setiap cabaran perlulah dihadapi dengan hati yang terbuka dan usahlah mengeluh. Kesabaran adalah penting kerana ia tiang agama seseorang. 

iv. “Jangan dihiraukan Haji Sukri itu, dia harimau berantai.”

            Kata-kata metafora terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai tenor,iaitu unsur atau bahasa yang dibandingkan. Bahagian kedua dikenali vichicle,iaitu bahagian untuk dibandingkan. Tujuan manipulasi bahasa ialah mencari perkataan/ungkapan/frasa yang serasi dengan mesej,menghasilkan keindahan bunyi,keseragaman dan keberkesanan pada masyarakat[5].  Metafora harimau berantai mengambarkan orang yang sangat garang dan bengis, amat dikuatiri mendatangkan bahaya[6]. Di dalam ayat ini sikap Haji Sukri dibandingkan dengan harimau berantai.Subjek utama ialah Hj Sukri dengan mengimplikasikan pernyataan tentangnya pada subjek kedua iaitu harimau berantai. Harimau adalah sejenis haiwan yang sangat ganas dan garang. Tambahan lagi Ia akan bertindak kerana menambatnya dengan rantai. Perbuatan menambat ini akan membuatkan harimau tersebut bertambah marah dan makin ganas dan akan menyerang sesiapa sahaja jika berhadapan dengannya. Jadi ia dikiaskan pada manusia yang mempunyai sikap panas baran dan bengis. Sikapnya yang garang itu diumpamakan dengan harimau yang berantai. Tujuannya untuk mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati dengan seseorang yang bengis agar tidak berlaku pergaduhan besar kerana orang yang bengis ini sentiasa dalam keadaan marah dan pantang dicabar. Oleh itu, semasa berurusan dengan orang yang bengis,kita perlu menjaga tutur kata dan perbuatan supaya tidak menimbulkan kemarahannya yang boleh mengakibatkan pergaduhan besar berlaku.Penggunaan metafora ini menjelaskan lagi perihal bengisnya sikap Hj Sukri. Pengucapan dalam bentuk metafora ini dilihat lebih berkesan dan dapat menjaga keharmonian hidup masyarakat. Penyampaian secara umum dan tidak membayangi menyebabkan metafora tidak dianggap sebagai penghinaan.

v. “Samad  merupakan gunung harapan Mak Inah untuk mengubah masa hadapan mereka”

            . Harapan merupakan sesuatu yang abstrak dan digandingkan dengan gunung yang berbentuk konkrit yakni boleh dilihat bentuknya dengan jelas. Biasanya orang menyebut gunung bersama-sama namanya seperti Gunung Jerai. Metafora ini bermaksud harapan yang tinggi seorang ibu terhadap kejayaan anaknya. Bentuk harapan tersebut dikiaskan dengan gunung melambangkan sesuatu yang sangat tinggi. Ini kerana gunung adalah sesuatu yang dekat dengan kehidupan masyarakat kampung suatu ketika dahulu kerana sumber pendapatan mereka berasaskan pertanian dan berkaitan dengan sumber alam ini. Walaupun  banyak lagi benda yang tinggi seperti pokok kelapa, bukit dan bangunan tetapi ketinggian objek ini tidak  setanding dengan tingginya gunung. Kita juga sedia maklum bahawa nama gunung yang tertinggi di dunia ialah Gunung Everast  Begitu jugalah harapan seseorang ibu bapa agar anak-anak yang mereka didik akan berjaya suatu masa nanti dan mampu mengubah kehidupan mereka yang susah menjadi lebih senang . Oleh itu,anak-anak perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka supaya tidak mengecewakan ibubapa kerana anaklah orang paling dekat dan mempunyai hubungan rapat dengan ibu bapa. Kiasan ini ditujukan kepada anak-anak agar mereka sedar dan insaf serta mengenang jasa kedua ibu bapa masing-masing dengan berusaha bersungguh-sungguh kerana merekalah penentu masa  hadapan dan jangan berharap pada orang tua kerana mereka sudah tidak mampu memandangkan keadaan mereka yang semakin uzur.

1.3.KESIMPULAN

            Gaya bahasa metafora sudah lama menjadi satu daripada aspek keindahan. Ia bukan sahaja merupakan keindahan bentuk tetapi juga bersifat estatik yang menyangkut keindahan isi,makna dan rasa pada keseluruhannya. Secara tidak langsung ia dapat menghidupkan suasana, mood,situasi dan juga memperluaskan rasa,sensitiviti dalam makna dan erti. Ia adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu.Penggunaanya berkait rapat dengan kepercayaan , sikap dan nilai masyarakat.Penerimaan berkait dengan pengalaman bahasa dan ia bersifat realtif . Di samping itu, ia mengambarkan kehalusan bahasa dan budi masyarakat yang menggunakan nasihat dan teguran secara berlapik bagi menjaga hati ahli masyarakat agar tidak terguris. Dan sehingga kini gaya bahasa metefora  masih diamalkan oleh masyarakat Melayu amnya. Semoga ia akan berkekalan kerana ia salah satu warisan estetik masyarakat Melayu.


[1] Rahman Shaari(1993). Memahami Gaya Bahasa. DBP.hlm 1
[2] Kamalidun Muhammad (Keris Mas,1990).Perbincangan Gaya Bahasa Sastera.DBP hlm 150
[3] Hamidah Abdul Hamid(1995).Pengantar Estetik,DBP.hlm 82
[4] Maxim Stamenov(1998).Teori Semantik. DBP, hlm 161
[5] Maniyamin Hj.Ibrahim(1990).Gaya Bahasa Kiasan.Karisma publication Sdn.Bhd.hlm 44
[6] Zaitan Afidza Zainal Abidin(2000).Pepatah Melayu.Iqra Publications . hlm 5