Khamis, 14 Februari 2013

FONETIK & FONOLOGI BAHASA MELAYU


Soalan : Bincangkan perkara berikut dengan jelas dan sertakan contoh-contoh yang sesuai.
a) Fonetik dan fonologi bahasa Melayu
b) Bunyi vokal dan konsonan bahasa Melayu
c) Sistem ejaan Rumi bahasa Melayu.
1.0. PENGENALAN.
            Ilmu linguistik ialah ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik. Iaitu ilmu yang mengkaji dan menganalisis satu-satu bahasa tertentu secara empirikal dan objektif iaitu mengkaji bahasa itu seperti yang benar-benar wujud tanpa dipengaruhi oleh agak-agakan,ramalan,sentimen atau falsafah. Fonetik dan fonologi  bahasa Melayu diberada di bawah cabang dan bidang Linguistik Deskriptif. Linguistik Deskriptif menghuraikan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dituturkan dan bagaimana sistem bahasa itu digunakan dalam bidang fonologi,morfologi,sintaksis dan segala aspek yang terdapat dalam bahasa Melayu. Ia hanya membuat huraian tentang satu-satu bahasa itu dan tidak membuta perbandingan dengan bahasa-bahasa lain atau mengkaji daripada sudut  sejarah bahasa itu. Misalnya Linguistik Deskriptif akan menghuraikan bunyi-bunyi vokal, konsonan, diftong,sistem sukukata,perkataan,frasa dan ayat bahasa Melayu, tetapi tidak membuat perbandingan antara sistem ini dengan sistem bahasa Inggeris, bahasa Perancis,bahasa Jepun dan bahasa Cina.
2.0. FONETIK DAN FONOLOGI BAHASA MELAYU
2.1. DEFINISI
            Bidang fonetik dan fonologi telah mengalami perkembangan yang amat panjang sebagai bidang khusus kajian bunyi bahasa umat manusia. Perkembangan kajian bidang ini dilahirkan sejajar dengan perkembangan displin-displin lain dalam linguistik. Oleh itu terdapat beberapa definisi mengenai fonetik dan fonologi yang diberikan oleh tokoh-tokoh bahasa. Di bawah ini dinyatakan beberapa definisi atau pengertian serta pendapat tentang fonetik.
(i) Kamus Linguistik ( Harimurti Kridalaksana,1948:51) memberikan definisi fonetik sebagai “ Ilmu yang menyelidiki penghasilan,penyampaian dan penerimaan bunyi bahasa”.
(ii) Abdullah Hassan (1993:40) memberikan definisi fonetik sebagai “ Fonetik mengkaji bunyi bahasa dari segi penyebutan,pendengaran atau sifatnya...Fonetik amnya ialah pengkajian terhadap unsur-unsur dalam bentuk bunyi”.
(iii) Abdul Hamid Mahmood (2007:16) merumuskan bahawa “Fonetik mengkaji bunyi-bunyi bahasa yang dituturkan oleh manusia, iaitu mengkaji bunyi-bunyi bahasa dari segi cara pengeluarannya,daerah pengeluarannya dan alat-alat pengucapan yang terlibat dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa”.
(iv) The Penguin Dictionary (2004:1046) menjelaskan  fonetik sebagai “The study and classification of speech sounds”.
Bunyi-bunyi bahasa yang mempunyai sistem atau peraturan pula dikaji dalam bidang fonologi. Berikut ialah pandangan tentang definisi atau pengertian tentang fonologi.
(i) F.Parker (1974: 112) memberikan pengertian fonologi sebagai “....suatu bidang yang mengkaji sesuatu bahasa,iaitu rumus-rumus yang menentukan sebutan”.
(ii) Kamus Linguistik ( Harimurti Kridalaksana, 1984:61)memberikan definisi fonologi  sebagai bidang dalam linguistik yang menyelidiki bunyi-bunyi bahasa mengikut fungsinya.
(iii) Abdullah Hassan dalam bukunya ,Linguistik Am Untuk Guru Bahasa Malaysia(1993:40) menyatakan bahawa “Fonologi mengkaji bunyi-bunyi yang berfungsi dalam sesuatu bahasa itu”.
(iv) Abdul Hamid Mahmood dalam bukunya, Linguistik Fonetik Dan Fonologi Bahasa Melayu(2007:17) menyimpulkan fonologi sebagai “ Kajian terhadap fungsi-fungsi bunyi bahasa”[1].
            Kesimpulannya, berdasarkan  pendapat- pendapat  yang diberikan ini telah menjelaskan tentang maksud yang sama dalam menerangkan definisi fonetik iaitu kajian mengenai bunyi-bunyi bahasa. Manakala fonologi pula mengkaji keadaan dan organisasi ucapan iaitu rentetan bunyi yang berupa unit-unit yang dapat dipecah-pecahkan, hubungan antara unit-unit itu, fungsi pembentukannya dan kejadiannya yang membentuk pola dan hirarki. Unit-unit asas yang dimaksudkan di sini adalah fonem-fonem iaitu unit-unit terkecil yang distingtif yang ikatan ucapannya dapat dipenggal-penggal. Kajian mengenai fonem-fonem ini pula umumnya diistilah sebagai fonemik.
            Umumnya ilmu fonetik ini dibahagikan kepada:
(i) Fonetik artikulasi
(ii) Fonetik akustik
(iii) Fonetik auditori.
2.2.  FONETIK AKUSTIK
            Fonetik akustik merujuk kepada kajian transmisi signal bunyi dari penutur kepada pendengar semasa komunikasi berlangsung. Signal bunyi yang dipindahkan ini pula terkandung di dalamnya antara lain parameter-parameter seperti frekuensi fundamental(Fo), intensiti dan durasi.Parameter-parameter ini,iaitu frekuensi fundamental(Fo) yang diukur dalam unit Hertz(Hz),intentsiti dalam unit desibel(dB) dan durasi dalam unit saat(s) mendukung fungsi makna-makna yang tertentu. Dari sudut pendengar,ketiga-tiga parameter ini dipersepsikan sebagai kelangsingan bunyi,kelantangan suara dan kepanjangan.
            Kesemua yang terlafaz ini selari dengan  objektif komunikasi dan dapat dikatakan sering kali semua ini terancang dalam minda si penutur. Keselarian ini berlangsung kerana ketiga-tiga parameter yang digunakan mendukung makna-makna yang tertentu. Norma-norma maknanya ditentukan oleh masyarakat penutur sesuatu bahasa. Sebagai contoh bunyi em dalam bahasa Melayu boleh menggantikan ya dalam ayat berikut :
Awak yang makan roti itu? atau
Awak yang pergi ke sana? dan sebagainya. Sebaliknya jika lafaz bunyi em yang diberikan kepanjangan lafaz yang tertentu seperti :
emmmmm.........
            Maka jawapan ya kepada  soalan-soalan di atas kini tidak lagi berlaku. Jawapan em tidak lagi dianggap bermakna emosi yang neutral . Hanya si pendengar dan si penutur yang hadir dalam konteks tersebut dapat memahami peristiwa bahasa yang sedang berlaku itu. Dia sebenarnya memahami ketentuan-ketentuan makna yang tidak pernah tertulis dalam mana-mana buku tentang fungsi-fungsi setiap ketinggian,kekuatan dan kepanjangan lafaz bunyi.Pengkaji-pengkaji dalam bidang ini menggunakan bacaan parameter ini bagi mendapatkan pola-pola tertentu dalam mendeskripsikan pemindahan signal yang berlaku itu. Grafik signal adalah seperti di bawah.
            Signal akustik ini dinamakan sebagai osilogram yang kandungannya terdiri daripada fitur-fitur prosodi seperti kelansingan,kelantangan dan kepanjangan. Signalakustik ini boleh dianalisis dengan menggunakan program Praat bagi mendapatkan bacaan parameter Fo. Selain itu, melalui program ini juga dapat diperlihatkan bentuk spektrogram dan formannya.
2.3. FONETIK ARTIKULASI
            Fonetik artikulasi merujuk kepada kajian yang mendeskripsikan cara-cara sesuatu bunyi dilafazkan. Ia melibatkan daerah dan organ artikulasi yang berfungsi melafazkan bunyi-bunyi dalam bahasa. Daerah artikulasi ialah bahagian saluran udara yang tidak bergerak tetapi disentuh oleh organ artikulasi  sewaktu berlakunya sesuatu lafaz. Manakala organ artikulasi pula ialah organ ujaran dalam saluran suara yang terlibat dalam pengeluaran bunyi bahasa. Organ artikulasi terbahagi kepada artikulator aktif dan artikulator pasif. Organ artikulator aktif ialah seperti lidah,bibir, lelangit lembut dan gigi bawah. Manakala artikulator pasif ialah organ dalam saluran suara yang tidak bergerak seperti gigi atas dan lelangit keras.
            Kajian ini melibatkan prosedur bunyi tuturan oleh organ vokal manusia,iaitu cara penutur menghasilkan bunyi dengan menggunakan organ tuturan bagi menghasilkan bunyi yang digunakan dalam tuturan dan cara bunyi tersebut diklasifikasikan dan dideskripsikan. Bunyi-bunyi dalam bahasa mempunyai daerah dan organ artikulasi masing-masing. Semuanya berbeza dan setiap satu menghasilkan perbezaan bunyi-bunyi yang diucapkan. Organ artikulasi ialah organ yang digunakan untuk menghasilkan bunyi manakala daerah artikulasi ialah kawasan yang menghasilkan sesuatu bunyi. Perbezaan daerah dan organ dalam proses menghasilkan bunyi-bunyi bahasa inilah yang menimbulkan penamaan binyi-bunyi seperti letupan bibir bersuara atau tak bersuara,sengauan bibir, geseran lelangit keras bersuara atau tak bersuara, geseran gusi dan sebagainya. Secara terperinci, kita dapat melihat grafik saluran vokal seperti berikut :
Alat Pertuturan
1
Bibir atas
11
Tengah lidah
2
Bibir bawah
12
Belakang lidah
3
Gigi atas
13
Akar lidah
4
Gigi bawah
14
Epiglotis
5
Gusi
15
Pita suara
6
Lelangit keras
16
Rongga tekak
7
Lelangit lembut
17
Rongga Hidung
8
Anak tekak
18
Rongga mulut
9
Hujung lidah
19
Rahang
10
Hadapan lidah
20
Tenggorok

2.4. FONETIK AUDITORI
            Fonetik auditori pula ialah kajian sebutan bunyi yang didengar dan berkaitan dengan soalan “bagaimana bunyi diterima dan dikenali sebagai tuturan bunyi yang beebeza”. Proses yang yang terlibat dinamakan sebagai mendekod,yang melibatkan pendengar. Penutur menukarkan maklumat yang hendak disampaikan dalam bbentuk kod-kod yang tertentu seperti bunyi,kata dan ayat manakala pendengar pula mentafsirkan maklumat ini dalam otak bagi menjadikannya sebagai sesuatu yang bermakna dalam komunikasi yang berlangsung. Kajian ini berkaitan dengan kerangka psikologi, iaitu kajian persepsi respons kepada bunyi tuturan seperti yang diklasifikasikan oleh pendengar.
            Persepsi pendengar kepada ujaran yang terlafaz melibatkan unsur kelangsingan, kelantangan dan kepanjangan yang secara sendirinya mempunyai makna emosi tertentu. Dan makna emosi itu dapat dikatakan sebagai suatu kod yang ditentukan oleh anggota masyarakat penutur sesuatu bahasa. Lazimnya dalam mendapatkan rujukan makna emosi ini,keabsahannya perlu dilakukan dengan menggunakan kaedah soal selidik yang dinamakan ujian persepsi. Soal selidik ini perlu  dilakukan ke atas penutur bahasa yang data bunyinya sedang dianalisis bagi menjamin ketepatan dapatan ujian tersebut[2].
2.5. MATLAMAT ILMU  FONETIK DAN FONOLOGI
            Bahasa Melayu mempunyai sistem bunyi yang tersendiri dan untuk menguasai kemahiran bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik dan berkesan, seseorang pengguna bahasa perlulah mempunyai pengetahuan yang mendalam tentangnya. Dengan mempunyai ilmu berkaitan bidang ini , ia membantu pembakuan bahasa Melayu. Ini kerana  bahasa baku berfungsi untuk menyatukan semua dialek dan variasi yang lain dan seterusnya menyatukan semua daerah dan kawasan yang lain.Bahasa Melayu baku ini merupakan bahasa Melayu yang sudah mempunyai sistem yang mantap dari segi sebutan,ejaan dan tatabahasa. Bahasa Melayu baku kini digunakan sebagai bahasa kebangsaan,bahasa rasmi, bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar pendidikan.
            Bahasa Melayu baku yang berkait rapat dengan aspek sebutan merupakan satu bahasa yang dapat menarik perhatian pelajar. Pelajar akan mudah teransang pancaindera mereka dengan sebutan yang terang. Penyebutan bahasa Melayu baku yang sempurna lagi mantap akan dapat memancarkan kesempurnaan dan memancarkan kejituan dalam aspek tertentu.
Sebutan baku dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah sangat releven kerana bahasa Melayu baku telah mencapai tahap pembinaan dan pengayaan kosa kata dan struktur tatabahasa. Bahasa Melayu baku telah berupaya untuk menyampaikan buah fikiran dan hujah dengan tepat dan berkesan. Bahasa Melayu baku berupaya untuk menjadi pemangkin pengaliran ilmu di antara guru dan pelajar – pelajar.
            Dalam bidang pendidikan pula, ilmu fonetik dan fonologi ini dapat membantu guru-guru untuk membetulkan sebutan bunyi sesuatu bahasa terutamanya melatih murid yang gagap semasa bertutur. Terapi pertuturan merupakan salah satu aktivti yang membantu murid untuk mempunyai masalah dengan alat artikulasi mereka seperti gagap, sengau, sumbing dan sebagainya. Terdapat beberapa kepentingan terapi pertuturan ini, antaranya ialah, pertama melatih murid menguasai kemahiran tertentu.  Sebagai contoh, jika terapi pertuturan dijalankan, kita dapat membantu murid menguasai kemahiran bertutur khususnya.  Murid akan dapat bertutur dengan lebih baik dari semasa ke semasa jika terapi ini terus dijalankan.Ia  membantu murid menghasilkan bunyi bahasa.  Hal ini bermaksud, terapi pertuturan ini dapat membantu murid mengeluarkan bunyi-bunyi bahasa yang lebih bermakna. Kebanyakkan murid yang mengalami masalah pertuturan akan mengeluarkan bunyi yang kurang difahami oleh orang lain.  Dengan pelaksanaan terapi pertuturan, murid dapat menghasilkan bunyi bahasa yang lebih bermakna[3].


[1] Abdul Hamid Mahmood(2007). Linguistik Fonetik & Fonologi Bahasa Melayu. Aslita Sdn.Bhd.hlm 14-16.
[2] Indrawati Zahid dan Mardion Shah Omar(2006). Fonetik dan Fonologi.PTS Profesional. hlm 5-11.

2 ulasan: