Isnin, 30 Julai 2012

AYAT METAFORA


Metafora ialah gaya bahasa kiasan langsung atau perbandingan yang menyebut dua perkara tanpa menggunakan kata perbandingan seperti, bagai,bak,ibarat,laksana dan sebagainya. Ia menghubungkan sesuatu objek atau konsep dengan objek yang lain. Biasanya metafora terdiri daripada dua perkataan yang ringkas,padat dan tersusun. Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep(abstraksi)dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dikenali oleh masyarakat[1]. Dengan kata lain, perkataan itu mempunyai makna lain untuk tujuan tertentu .Tetapi metafora tidak terikat lagi kepada makna dua lapis dan tidak pula memerlukan pengutaraan perkara yang dijadikan bandingan.Maka, hakikatnya metafora ini dapat dikatakan ungkapan atau simpulan bahasa bermakna bandingan  atau analogi. Oleh itu, metafora dapat berdiri sendiri sebagai unit sendiri mengambil tempat dan fungsi sendiri dalam struktur sintaksis[2]. Kajian Lakoff dan Johnson (1980) memberikan impak yang besar terhadap kajian semantik kognitif khususnya metafora. Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.

1.2. METAFORA DALAM BAHASA MELAYU.

i. “ Kalau sekali Mak Busu membuka mulutnya yang merah asli,maka akan meletuplah mercun berpapan-papan yang entah bila akan hentinya” ( Anis, “Hati Damailah”, Mei 1982)
Di dalam ayat ini,kita harus mengenal pasti perkataan atau frasa yang manakah metafora. Jika ditinjau dengan teliti didapati bahawa mulut Mak Busu atau pertuturan Mak Busu dibandingkan dengan meletuplah mercun berpapan-papan. Perbandingan ini dilakukan bukan dari aspek fizikalnya atau pertuturan Mak Busu tidak dibandingkan dengan pola fizikal mercun berpapan-papan. Tidak ada sebarang kesamaan lahiriah yang wujud antara pertuturan Mak Busu dengan mercun berpapan-papan. Perbandingan yang dilakukan ialah tentang aspek audio iaitu bunyi antara pertuturan Mak Busu yang kuat dan tidak henti-henti dengan bunyi letupan bunyi yang berterusan. Perbandingan juga mungkin dilakukan dari aspek sikap,mungkin nada tidak senang hati dengan apabila mendengar leteran Mak Busu yang berjela-jela dan lantang bunyinya.

            Di dalam penggunaan metafora tersebut,peri lantang dan tidak henti-hentinya leteran dan pertuturan Mak Busu menjadi lebih hidup dan berkesan. Antara pertuturan Mak Busu dan letupan mercun berpapan-papan terdapat ketidaksuaian dari aspek semantik. Kedua-dua subjek ini amat berbeza. Tetapi dengan lencongan yang dilakukan dalam ayat tersebut,terjelmalah kesesuaiannya. Pembinaan metefora berdasarkan pemilihan,penekanan dan pembentukkan ciri-ciri pada subjek utama dengan mengimplikasikan pernyataan tentangnya yang diaplikasikan kepada subjek kedua. Ciri utama pada pertuturan Mak Busu digambarkan mengikut ciri-ciri yang biasanya terjadi pada subjek kedua iaitu bunyi letupan mercun. Dengan  yang demikian, metafora mengimplikasikan pernyataan tentang objek-objek yang dilihat melalui kanta istemewa.Dengan kata lain,perkataan-perkataan lama itu diberi pengertian baru. Hal ini bermakna metafora dibina sebagai satu proses linguistik untuk mengubah pengertian harafiah tentang bahasa kiasan yang dicipta[3].

ii. “Usah diperisterikan anak Pak Daud itu. Dia kelapa ditebuk tupai.”

            Kelapa ditebuk tupai adalah metafora kepada anak dara yang  sudah kehilangan daranya. Ia berbentuk sindiran penghinaan kepada seseorang yang ketiadaan daranya.  Objek konkritnya adalah buah kelapa dan abstraksinya ditebuk tupai. Ia dibandingkan dengan buah kelapa apabila telah ditebuk oleh tupai, biasanya ia akan dibuang oleh masyarakat kerana sudah rosak, tidak dapat menghasilkan santan dan kemungkinannya juga masam  dan layak dibuang sahaja. Disini anak Pak Daud dibandingkan dengan buah kelapa yang sememangnya banyak kegunaannya oleh masyarakat dahulu  dan amat berguna terutamanya dalam kalangan kaum wanita untuk memasak. Buah kelapa yang masih elok biasanya menjadi rebutan begitu juga dengan gadis yang masih mempunyai dara. Masyarakat Melayu dahulu amat mementingkan maruah keluarga dan akan memilih calon menantu yang masih dara.Oleh itu,anak-anak dara tidak dibiarkan hidup bebas dan bergaul mesra dengan kaum lelaki sehingga mempunyai hubungan yang benar-benar sah. Tupai ialah haiwan  perosak dan dibandingkan dengan kaum lelaki kerana biasanya kaum lelakilah yang akan menyebabkan anak gadis kehilangan daranya samaada berbentuk paksaan(rogol) ataupun sukarela. Kaum lelaki tidak sepatutnya mengambil kesempatan pada anak gadis kerana ia akan mengelapkan masa hadapan anak gadis kerana  setiap pasangan sudah tentu inginkan calon isteri yang masih dara dan tidak rosak.Kiasan  ini mengambarkan bertapa hinanya anak gadis yang tidak mempunyai dara sehingga langsung tidak layak untuk dijadikan isteri. Kiasan ini digunakan oleh masyarakat Melayu sebagai peringatan kepada keluarga agar sentiasa menjaga maruah anak gadis masing-masing supaya tidak dipandang hina. Oleh itu, jelaslah ia dapat dikaitkan dengan teori Lakoff dan Johnson (1980) menegaskan bahawa metafora wujud dalam kehidupan seharian manusia melalui bahasa, pemikiran dan tindakan manusia.

iii. “Kita perlu tabah menghadapi gelombang kehidupan masa kini”.

            Menurut Lakoff dan Johnson,kebanyakkan sistem konseptual biasa kita dari segi kita berfikir,bertindak dan bertutur tersusun secara metafora. Ini bermakna konsep metafora berperanan untuk menyusun keseluruhan medan pengalaman berdasarkan medan lain[4]. Gelombang kehidupan merupakan metafora yang digunakan dalam ayat ini. Ciri-ciri yang terdapat pada subjek utama yakni gelombang diaplikasikan pada kehidupan untuk memerikan lagi kesannya. Biasanya masyarakat menyebut laut bergelombang .Gelombang adalah sesuatu  yang konkrit,boleh dilihat dan biasanya diketahui oleh masyarakat yang berkaitan dengan keadaan laut yang bergelora dan kehidupan pula bersifat abstraksi kerana kehidupan adalah sesuatu yang perlu dilalui oleh seseorang semasa hayatnya. Masyarakat dahulu yang rata-ratanya nelayan sudah tentunya maklum akan maksud gelombang itu. Dengan yang demikian, metafora mengimplikasikan pernyataan tentang objek-objek yang dilihat melalui kanta istimewa.Sebenarnya ia dikiaskan kepada rintangan dan cabaran  yang perlu ditempuhi oleh manusia untuk mencapai sesuatu yang dihajati agar meraih kejayaan pada masa hadapan. Seseorang yang inginkan kejayaan sama ada  dalam pelajaran ,pekerjaan dan alam rumah tangga perlulah berusaha bersungguh-sungguh kerana kejayaan tidak akan datang bergolek tanpa usaha. Kiasan diatas juga menasihati masyarakat supaya jangan mudah kecewa dan berputus asa sekiranya mengalami kegagalan kerana lumrah kehidupan akan menghadapi pelbagai halangan dan rintangan sebelum berjaya dalam kehidupan masing-masing. Oleh itu setiap cabaran perlulah dihadapi dengan hati yang terbuka dan usahlah mengeluh. Kesabaran adalah penting kerana ia tiang agama seseorang. 

iv. “Jangan dihiraukan Haji Sukri itu, dia harimau berantai.”

            Kata-kata metafora terdiri daripada dua bahagian. Bahagian pertama dikenali sebagai tenor,iaitu unsur atau bahasa yang dibandingkan. Bahagian kedua dikenali vichicle,iaitu bahagian untuk dibandingkan. Tujuan manipulasi bahasa ialah mencari perkataan/ungkapan/frasa yang serasi dengan mesej,menghasilkan keindahan bunyi,keseragaman dan keberkesanan pada masyarakat[5].  Metafora harimau berantai mengambarkan orang yang sangat garang dan bengis, amat dikuatiri mendatangkan bahaya[6]. Di dalam ayat ini sikap Haji Sukri dibandingkan dengan harimau berantai.Subjek utama ialah Hj Sukri dengan mengimplikasikan pernyataan tentangnya pada subjek kedua iaitu harimau berantai. Harimau adalah sejenis haiwan yang sangat ganas dan garang. Tambahan lagi Ia akan bertindak kerana menambatnya dengan rantai. Perbuatan menambat ini akan membuatkan harimau tersebut bertambah marah dan makin ganas dan akan menyerang sesiapa sahaja jika berhadapan dengannya. Jadi ia dikiaskan pada manusia yang mempunyai sikap panas baran dan bengis. Sikapnya yang garang itu diumpamakan dengan harimau yang berantai. Tujuannya untuk mengingatkan masyarakat agar sentiasa berhati-hati dengan seseorang yang bengis agar tidak berlaku pergaduhan besar kerana orang yang bengis ini sentiasa dalam keadaan marah dan pantang dicabar. Oleh itu, semasa berurusan dengan orang yang bengis,kita perlu menjaga tutur kata dan perbuatan supaya tidak menimbulkan kemarahannya yang boleh mengakibatkan pergaduhan besar berlaku.Penggunaan metafora ini menjelaskan lagi perihal bengisnya sikap Hj Sukri. Pengucapan dalam bentuk metafora ini dilihat lebih berkesan dan dapat menjaga keharmonian hidup masyarakat. Penyampaian secara umum dan tidak membayangi menyebabkan metafora tidak dianggap sebagai penghinaan.

v. “Samad  merupakan gunung harapan Mak Inah untuk mengubah masa hadapan mereka”

            . Harapan merupakan sesuatu yang abstrak dan digandingkan dengan gunung yang berbentuk konkrit yakni boleh dilihat bentuknya dengan jelas. Biasanya orang menyebut gunung bersama-sama namanya seperti Gunung Jerai. Metafora ini bermaksud harapan yang tinggi seorang ibu terhadap kejayaan anaknya. Bentuk harapan tersebut dikiaskan dengan gunung melambangkan sesuatu yang sangat tinggi. Ini kerana gunung adalah sesuatu yang dekat dengan kehidupan masyarakat kampung suatu ketika dahulu kerana sumber pendapatan mereka berasaskan pertanian dan berkaitan dengan sumber alam ini. Walaupun  banyak lagi benda yang tinggi seperti pokok kelapa, bukit dan bangunan tetapi ketinggian objek ini tidak  setanding dengan tingginya gunung. Kita juga sedia maklum bahawa nama gunung yang tertinggi di dunia ialah Gunung Everast  Begitu jugalah harapan seseorang ibu bapa agar anak-anak yang mereka didik akan berjaya suatu masa nanti dan mampu mengubah kehidupan mereka yang susah menjadi lebih senang . Oleh itu,anak-anak perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam pelajaran mereka supaya tidak mengecewakan ibubapa kerana anaklah orang paling dekat dan mempunyai hubungan rapat dengan ibu bapa. Kiasan ini ditujukan kepada anak-anak agar mereka sedar dan insaf serta mengenang jasa kedua ibu bapa masing-masing dengan berusaha bersungguh-sungguh kerana merekalah penentu masa  hadapan dan jangan berharap pada orang tua kerana mereka sudah tidak mampu memandangkan keadaan mereka yang semakin uzur.

1.3.KESIMPULAN

            Gaya bahasa metafora sudah lama menjadi satu daripada aspek keindahan. Ia bukan sahaja merupakan keindahan bentuk tetapi juga bersifat estatik yang menyangkut keindahan isi,makna dan rasa pada keseluruhannya. Secara tidak langsung ia dapat menghidupkan suasana, mood,situasi dan juga memperluaskan rasa,sensitiviti dalam makna dan erti. Ia adalah cara yang berkesan untuk menyampaikan sesuatu.Penggunaanya berkait rapat dengan kepercayaan , sikap dan nilai masyarakat.Penerimaan berkait dengan pengalaman bahasa dan ia bersifat realtif . Di samping itu, ia mengambarkan kehalusan bahasa dan budi masyarakat yang menggunakan nasihat dan teguran secara berlapik bagi menjaga hati ahli masyarakat agar tidak terguris. Dan sehingga kini gaya bahasa metefora  masih diamalkan oleh masyarakat Melayu amnya. Semoga ia akan berkekalan kerana ia salah satu warisan estetik masyarakat Melayu.


[1] Rahman Shaari(1993). Memahami Gaya Bahasa. DBP.hlm 1
[2] Kamalidun Muhammad (Keris Mas,1990).Perbincangan Gaya Bahasa Sastera.DBP hlm 150
[3] Hamidah Abdul Hamid(1995).Pengantar Estetik,DBP.hlm 82
[4] Maxim Stamenov(1998).Teori Semantik. DBP, hlm 161
[5] Maniyamin Hj.Ibrahim(1990).Gaya Bahasa Kiasan.Karisma publication Sdn.Bhd.hlm 44
[6] Zaitan Afidza Zainal Abidin(2000).Pepatah Melayu.Iqra Publications . hlm 5

2 ulasan: